Afif: Majoriti tak nak dengar siapa penyelamat, siapa pengkhianat


shadow

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Afif Bahardin berkata majoriti rakyat Malaysia sudah tidak berminat untuk mendengar siapa “penyelamat” atau pengkhianat dalam kancah politik negara.

Afif, yang digantung daripada PKR kerana didakwa memujuk MP parti untuk berpaling tadah menjelaskan rakyat mahu tahu sekiranya mereka boleh terus mencari rezeki dan dapat menangani dampak wabak Covid-19.

“Majoriti rakyat sudah tidak mahu dengar siapa “penyelamat” atau siapa “pengkhianat”. Majoriti rakyat tidak mahu tahu siapa yang lebih layak jadi perdana menteri hari ini. Majoriti rakyat tidak ambil pusing siapa dapat jawatan atau siapa hilang kedudukan.

“Yang saya percaya rakyat mahu tahu hari ini adalah; apakah esok hari mereka masih lagi mempunyai sumber pendapatan untuk menyara hidup?

“Adakah seorang peniaga dapat mengembalikan keuntungan beliau untuk mengatasi kerugian yang telah mereka alami? Apakah setahun dari sekarang, wabak Covid-19 akan tamat dan negara bebas dari ancaman?

“Saya yakin dan percaya inilah persoalan-persoalan lebih mendasar yang sedang bermain di benak pemikiran majoriti rakyat Malaysia hari ini,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Oleh demikian, Afif yang menubuhkan organisasi “Pemuda Negara” menyarankan perdamaian nasional.

“Saya menyeru kepada semua senior-senior saya dalam politik, termasuk yang seangkatan dengan saya, baik daripada Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan; kini adalah masa untuk rekonsialisasi nasional.

“Mandat rakyat kini bukan mengenai waima PH atau PN yang berkuasa. Mandat rakyat hari ini adalah mereka mahu sebuah pemerintahan yang menawarkan halatuju kepimpinan untuk negara.

Letak ke tepi cita-cita peribadi

“Rakyat mahu kestabilan. Rakyat mahu sistem penyampaian yang telus dan cekap. Rakyat mahu negara kembali pulih dan kita semua kembali kepada kedudukan yang selamat dan selesa,” katanya.

Kata Afif, ahli politik perlu memikirkan semula keutamaan mereka memandangkan terlalu banyak “pertarungan politik” yang sedang berlangsung.

“Saya menyeru kepada semua, selami hati kita, padamkan seketika keegoan kita masing-masing, letak ketepi cita-cita peribadi kita, redakanlah pertelingkahan kita dan bersamalah kita utamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi.

Afif berpihak kepada bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang mengetuai sekumpulan MP parti itu berpaling tadah kepada PN.

Bersama-sama Bersatu dan pembangkang PAS, Umno, GPS serta parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Comments

Tinggalkan komen anda