‘Audio bocor mesyuarat PH sah, tegang kerana rancangan pengkhianat’


shadow

Pengerusi PKR Anwar Ibrahim mengesahkan rakaman suara mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari yang tersebar di media sosial beberapa hari lalu sebagai asli.

“Saya dengar klip (rakaman audio) yang agak panjang. Dan sebagai orang yang hadir dan merenung dan banyak bersabar ketika itu, memang tepat apa yang disuarakan.

“Bukan palsu dan memang berlaku begitu (dalam mesyuarat Majlis Presiden PH),” katanya.

Pada 17 Mei lalu, rakaman berjudul “Pendedahan Eksklusif Mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari 2020” yang disiarkan di Facebook “Bersatu sokong Tun Mahathir” mula tular.

Rakaman itu menunjukkan berlakunya pertikaman lidah tentang penetapan tarikh peralihan kuasa daripada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar.

Pemimpin Amanah dan DAP dikatakan mahu tarikh tepat ditetapkan selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual hujung tahun ini.

Pemimpin Bersatu dan timbalan presiden PKR ketika itu Azmin Ali serta penyokongnyanya pula mahukan mandat penuh sepenggal.

Mahathir dalam sidang media selepas itu kemudian mengumumkan tarikh peralihan akan dibuat selepas Apec dan tarikh tepatnya terpulang kepadanya.

Dalam siaran langsung di Facebook hari ini, tanpa menyebut nama secara khusus, Anwar berkata mendakwa ketegangan berlaku susulan rancangan “pengkhianat”.

[…] Bila datang mesyuarat, beberapa orang Bersatu dan pengkhianat rupa-rupanya merancang untuk membuat gesaan keras membantah apa-apa pandangan berkenaan transmisi (peralihan kuasa),” katanya.

Mengaku disergah Amanah dan DAP

Sementara itu, Anwar berkata beliau mengambil keputusan bertolak ansur bagi meredakan pertelingkahan tersebut yang akan menyebabkan perpecahan PH.

“Setelah dengar panjang begitu begini bertelagah dan sebagainya dan saya juga tahu sandiwara politik dari Bersatu dan pengkhianat untuk jadikan isu peralihan kuasa untuk keluar dari PH.

“Jadi, saya buat keputusan untuk berkata jangan kita berebut, kita ikhtiar dan tawakal,” katanya.

Beliau mengaku kerana keputusan itu beliau “disergah” oleh pemimpin lain dalam PH.

“Saya disergah oleh Amanah dan DAP kerana awalnya sudah putus (peralihan kuasa) lepas APEC dan saya hendak lepaskan begitu sahaja.

“Tetapi saya hendak elakkan supaya pengkhianat dari menggunakan ini (peralihan kuasa) sebagai alasan untuk keluar tetapi kalau namanya pengkhianat, guna cara baik macam mana juga tetap akan khianat,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda