#Binti Ahmad Zahid: Pada hari Nurulhidayah dan suami dibicarakan kes langgar PKP


shadow

Jam menunjukkan waktu sudah 8.40 pagi. Penulis tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya yang berada di kompleks Istana Kehakiman.

Hari itu ada kes yang menarik perhatian ramai. Ia melibatkan anak presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Pasangan terbabit akan didakwa kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pada waktu itu sudah ada puluhan wartawan berkumpul di hadapan pintu masuk mahkamah. Penulis dimaklumkan kemudiannya oleh rakan wartawan lain bahawa mereka tidak dibenarkan masuk.

Beberapa ketika kemudian, penulis difahamkan hanya lima wartawan saja wartawan dibenarkan oleh pihak mahkamah masuk untuk membuat liputan kes berkenaan.

Maka tidak ada pilihan lain, puluhan wartawan lagi – bersama jurugambar masing-masing – yang tidak dapat masuk, terpaksa berada di luar untuk menunggu sehingga prosiding selesai.

Sementara menunggu ia berakhir, penulis dapat melihat ramai orang keluar masuk mahkamah. Ia bukanlah sesuatu yang asing kerana biasanya memang begitu keadaan di mahkamah.

Biasanya ada banyak kes yang perlu dikendalikan dan melibatkan ramai orang.

Jurugambar, juruvideo bersedia

Berdasarkan maklumat awal, prosiding kes Nurulhidayah dan Saiful Nizam akan bermula pada jam 8.30 pagi. Namun pada hari yang sama ada beberapa kes lain yang turut dikendalikan.

Beberapa ketika kemudian keluar salah seorang daripada lima wartawan tadi. Dia memberitahu majistret tidak membenarkan media membuat liputan ketika prosiding berlangsung.

Dia memaklumkan yang mereka hanya dibenarkan berada di luar kamar saja dan perlu menunggu timbalan pendakwa raya keluar untuk mendapatkan maklumat terperinci kes tersebut.

Ia bukanlah sesuatu yang lazim. Biasanya jika sesuatu kes dibicarakan di mahkamah terbuka, wartawan boleh berada dalam mahkamah dan melihat bagaimana kes tersebut berlangsung.

Jika ada keperluan mendapatkan maklumat tambahan, barulah wartawan cuba mendapatkan butiran yang berkenaan daripada timbalan pendakwa raya atau peguam bela.

Sekitar jam 10.15 minit pagi, petugas media dimaklumkan bahawa prosiding membabitkan Nurulhidayah dan suaminya hampir selesai.

Jurugambar dan juruvideo daripada pelbagai agensi media segera bersiap sedia bagi merakam gambar dan video anak bekas timbalan perdana menteri.

Beberapa minit kemudian, lagi sekali wakil wartawan tadi keluar dan memberi maklumat terperinci berhubung prosiding kepada wartawan yang sedang menunggu di luar mahkamah.

Kira-kira jam 11 pagi, Nurulhidayah dan suaminya kelihatan keluar dari mahkamah selepas prosiding berakhir dan mereka berdua segera meninggalkan pekarangan mahkamah.

Para wartawan bergegas untuk cuba mendapatkan komen pasangan terbabit, namun Nurulhidayah tidak memberikan sebarang kenyataan kecuali mengucapkan “terima kasih” dan melambai kepada media.

Kira-kira jam 11.50 pagi petugas media mula beransur meninggalkan mahkamah.

Tinggalkan komen anda