‘Hanya presiden boleh pecat setiausaha kerja’


shadow

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin yang memihak kepada Muhyiddin Yassin berkata Suhaimi Yahya kekal sebagai setiausaha kerja parti itu kecuali dipecat oleh presiden Bersatu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas surat pemecatan Suhaimi yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh Marzuki Yahya, yang dilantik oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai setiausaha agung tetapi dipecat oleh Muhyiddin, namun menegaskan bahawa dia masih memegang jawatan itu.

“Marzuki bukan lagi setiausaha agung. Saya setiausaha agung.

“Sehingga dan kecuali presiden memecat Suhaimi, dia masih setiausaha kerja,” kata Hamzah pada sidang media di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Hamzah menegaskan bahawa dia dilantik oleh Muhyiddin sebagai setiausaha agung pada 26 Mac, seminggu setelah Marzuki dipecat dari jawatannya.

Marzuki telah mengeluarkan surat pemecatan kepada Suhaimi malam tadi setelah dia menandatangani surat berasingan untuk memaklumkan kepada dirinya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan tiga yang lain, bahawa status keanggotaan mereka terbatal secara automatik.

Alasan yang diberikan adalah bahawa mereka telah duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Marzuki menjelaskan pemecatan itu selaras dengan Perlembagaan Bersatu pindaan 2019, kaedah pemberhentian dan pemecatan ahli di bawah fasal 10 serta fasal 16.6.

Katanya, mengikut fasal 8, pendaftaran keahlian, semua perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli ialah di bawah bidang kuasa setiausaha agung.

Beliau turut menjelaskan mengikut fasal 16.6, tugas setiausaha agung mengelola pentadbiran ibu pejabat dan semua perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli.

Tinggalkan komen anda