‘Kalau Muhyiddin masuk Umno, Zahid nak letak mana?’


shadow

Seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata pemimpin Umno perlu memberikan fokus untuk perkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN) bukannya menjemput pemimpin Bersatu menyertai parti mereka.

Menurut Wan Saiful Wan Jan, fokus yang lebih penting berbanding ajakan buat Muhyiddin Yassin ialah memperkukuh kerajaan demi menghadapi krisis ekonomi yang mungkin berlaku.

“Tidak perlulah menjemput pemimpin Bersatu masuk Umno.

“Apabila dibuat jemputan terbuka, timbul pula persoalan: di mana Umno nak letak Zahid Hamidi? Kan tidak harmoni jadinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian katanya ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, supaya Muhyiddin kembali kepada Umno.

Tajuddin ialah anggota Majlis Tertinggi Umno, manakala Muhyiddin merupakan presiden Bersatu. Kedua-dua parti itu pernah berseteru dan bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum Muhyiddin membawa Bersatu menjalin kerjasama dengan Umno.

Beberapa pemimpin Umno pula membayangkan sokongan mereka kepada Bersatu mungkin akan ditamatkan menjelang PRU ke-15 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2023.

Menurut Tajuddin, jika Muhyddin kembali menyertai Umno, ahli parlimen Pagoh itu masih boleh kekal sebagai perdana menteri mewakili parti yang pernah menyingkirkannya suatu ketika dulu.

Menurut Tajuddin dengan cara itu juga Bersatu dan Umno tidak perlu lagi bersaing sesama sendiri pada PRU akan datang. 

Kata Wan Saiful pemimpin Umno perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini apabila ada antara mereka yang lantang bersuara secara terbuka, seperti Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasany, dan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.

“Habis segala isu mahu dijadikan kenyataan media. Akibatnya kerajaan PH dilihat berpecah dan lemah hingga membawa keruntuhan.

“Para pemimpin PN mesti belajar daripada sejarah. Jangan terlalu suka membawa isu kontroversi ke media.

“Jangan jadi seperti Ramasamy. Suka sangat mencipta kontroversi pada waktu kita sepatutnya mencari keharmonian,” katanya.

Tambah Wan Saiful dengan memberi fokus kepada penyatuan PN, kerajaan mampu boleh menjaga masa depan dan kepentingan bangsa Melayu.

“PN sebuah gabungan yang dipimpin oleh Muhyiddin yang menyatukan parti-parti besar Melayu. Jika gabungan ini berjaya, masa depan orang Melayu dan semua rakyat akan terjaga,” katanya.

Tinggalkan komen anda