Kit Siang kena amal ‘penjarakan politik’, sindir Azmin


shadow

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali menyindir ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang supaya mengamalkan “penjarakan politik”, di samping penjarakan sosial ketika ini.

Beliau berkata demikian setelah Lim membidasnya dengan mendakwa menteri kanan (ekonomi) itu cuba mengugut negeri dengan tindakan undang-undang dalam kes pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Kit Siang patut berhenti politikkan semua benda, terutamanya ketika negara ini perlu dibina semula.

“Amalkan sedikit penjarakan politik juga,” ciapnya di Twitter.


Azmin tinggalkan ‘kelat’, Lim gesa PM campur tangan


Azmin yang juga menteri kanan (kluster ekonomi) berkata demikian selepas Lim mengkritik kenyataannya sebelum ini, bahawa tindakan undang-undang boleh diambil pada negeri yang tidak membuka kembali ekonomi.

Semalam Azmin menjelaskan ia bukanlah ancaman, tetapi peringatan bahawa kerjasama kerajaan negeri diperlukan untuk memulihkan negara.

Bagaimanapun Lim yang merupakan anggota Parlimen Iskandar Puteri tidak menerima penjelasan itu, dan menyifatkan Azmin meninggalkan “kelat” (bad taste) atau rasa kurang enak terhadap hubungan pusat-negeri,.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin campur tangan dengan mengadakan pertemuan dengan semua kerajaan negeri, bagi memastikan semua pihak berada di pihak sama dalam melawan Covid-19.

Tinggalkan komen anda