Pakatan tumbang di Kedah, 2 Adun PKR sah keluar parti


shadow

DUA wakil rakyat PKR di Kedah keluar parti dengan alasan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti Anwar Ibrahim, menyebabkan Menteri Besar Mukhriz Mahathir hilang majoriti untuk terus menerajui negeri.

Perkembangan ini menjadikan Kedah negeri keempat yang beralih pentadbiran sejak Pakatan Harapan (PH) jatuh di Putrajaya, selepas Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat.

Dalam satu sidang media bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) berkata mereka bukan lagi wakil rakyat PKR, sebaliknya menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Saya dan Robert memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” kata Azman dalam sidang media di Sungai Petani, hari ini. 

Kedua-dua mereka diketahui umum menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang dipecat pada hujung Februari lalu kerana dianggap mengkhianati parti dan dalang runtuhnya PH di Putrajaya.

Azmin kini menteri kanan ekonomi dalam pentadbiran Muhyiddin dan PN.

“Kami juga sokong penuh kerajaan PN di peringkat pusat untuk memimpin negara dan menjaga rakyat. 

“Apabila kami berdua nyatakan sokongan PN di peringkat pusat, Insya-Allah akan tubuh kerajaan PN di peringkat negeri Kedah. Semua itu akan terjawab petang ini dalam satu sidang media,” tambahnya.

PN Kedah dijadual mengadakan sidang media pada 3 petang ini di Komplek PAS Kedah di Alor Setar.

Dua wakil rakyat bekas PKR itu juga berkata mereka membuat keputusan selepas menimbangnya dengan mendalam.

Azman juga berkata, tindakan mereka keluar parti ketika negara sedang berhadapan wabak Covid-19 bukanlah satu isu.

“Pengumuman ini dibuat pada hari terakhir perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa keempat. Bantuan dan aktiviti kami di peringkat DUN tetap berjalan tanpa henti setiap hari. 

“Saya ingat ia tidak jadi isu dan rakyat sudah belajar dengan kehidupan norma baharu,” jelasnya.

Sejak peralihan kuasa di Putrajaya dua bulan lalu, PH kekal menguasai DUN Kedah dengan sokongan Bersatu walaupun mereka tidak lagi bersama dalam sebuah gabungan.

Pentadbiran PH dan Bersatu sebelum ini mempunyai 19 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Kedah.

Dengan perkembangan terkini hari ini, PKR kini tinggal 5 kerusi, Amanah 4, dan DAP 2. 

Bersatu mempunyai 6 kerusi namun tidak dapat dipastikan berapa Adun yang masih bersama Mukhriz, ketika parti itu terpecah dua susulan keputusan Muhyiddin menarik parti keluar PN untuk membentuk kerajaan PN.

PAS mempunyai 15 kerusi sementara Umno 2 kerusi. 

Dua Adun PKR ini mengumumkan sokongan kepada PN tidak sampai seminggu selepas PAS Kedah menegaskan kesediaan mengambil alih teraju negeri.

Pada Ahad, pemimpin PAS dan Umno negeri mengadakan mesyuarat tertutup hampir tiga jam, dipercayai membincangkan peralihan kerajaan negeri.

Pertemuan melibatkan semua 17 wakil rakyat kedua-dua parti dan disertai pemimpin kanan parti dari pusat.

Pertemuan dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Moktar; dan Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom. 

Tinggalkan komen anda