Bersatu Perak ikrar sokong Muhyiddin


shadow

Dua puluh empat ketua bahagian Bersatu Perak menyatakan sokongan mereka kepaa Perdana Menteri Muhyiddin Yaasin sebagai presiden parti tersebut.

Ia turut disokong 24 ketua Srikandi dan 21 ketua Armada negeri tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini mereka juga menyatakan sokongan terhadap pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan ketika ini.

“Kami, badan pimpinan negeri Bersatu Perak menyokong sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan seterusnya menyatakan sokongan padu terhadap penubuhan pembentukan kabinet kerajaan Malaysia hari ini yang dikenali sebagai PN.

“[…] sehubungan dengan itu juga, kami barisan badan pimpinan negeri Bersatu Perak akan terus memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan dan juga mengekalkan jawatan beliau sebagai presiden parti keramat Bersatu,” kata kenyataan tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati terdapat dua ketua Armada bahagian di Perak yang tidak terlibat dalam penzahiran sokongan berkenaan iaitu , Akmal Maradzi (Lumut) dan Ahmad Safwan Mohamad (Gerik). Untuk Bersatu Sungai Siput difahamkan tiada wakil Armada di bahagian berkenaan.

Pada 29 Mei lalu, Dr Mahathir Mohamad bersama empat pemimpin lain dilucutkan keangotaan atas alasan menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Empat lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Dr Mahathir – yang menjadi antara pengasas Bersatu – menegaskan beliau masih pengerusi Bersatu yang sah.

Sementara itu, Bersatu Perak turut mengambil maklum dan menyokong keputusan MPT parti itu pada Februari lalu yang menyatakan hasrat untuk keluar dari PH.

Tinggalkan komen anda