Mencerap isyarat politik dari rumah Zahid Hamidi


shadow

Hantaran Facebook yang menunjukkan Najib Razak berkunjung ke kediaman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bukan sekadar memberi isyarat parti itu bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata penganalisis politik.

Lebih daripada itu Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ia juga menggambarkan bahawa Umno merupakan parti yang lebih kukuh berbanding parti lain seperti Bersatu dan PKR.

Ia juga kata Azmi menghantar isyarat bahawa Najib bersedia untuk membuat kemunculan semula dan kembali aktif dalam politik kepartian.

“Strategi Najib bersama Ahmad Zahid adalah penting untuk gambarkan Umno utuh, tiada tanpa sengketa politik dalaman tidak seperti Bersatu atau PKR.

“Isyarat juga dapat dibaca bahawa Umno bersama PN (Perikatan Nasional) sudah siap sedia menghadapi PRU ke-15,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Zahid pada 2 Jun memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan beliau bertemu Najib di rumahnya. Turut hadir, adik Najib Nazim Razak; dan Ketua Pemuda Titiwangsa Nazir Hussain Aktar Hussain.

“Malam tadi menerima kunjungan Dato Sri Najib dan rombongan ke rumah saya. Terima kasih.

“Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?” katanya menerusi hantaran tersebut.

Tiada beri nilai tambah

Azmi berkata, Umno kelihatan enggan bergantung 100 peratus kepada PN dan melihat bahawa kerjasama dengan Bersatu dalam gabungan itu hanyalah bersifat sementara.

“Isyarat paling jelas ialah kepada Bersatu, iaitu tidak semestinya Umno akan kekal menjadi mesra Bersatu ketika PRU ke-15.

“Ada kemungkinan Umno berlawan calon (Bersatu) pada PRU ke-15 nanti,” katanya.

Beliau juga berkata Bersatu sebenarnya perlu lebih bimbang kepada kemungkinan yang dibawa Umno menjelang PRU akan datang berbanding ancaman Pakatan Harapan (PH).

Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, turut sependapat dengan Azmi.

Kata Mohd Yusri antara yang kuat menolak penubuhan PN secara rasmi ialah Umno. Hal itu kerana, katanya, penyertaan Bersatu dalam PN tidak memberi nilai tambah kepada sokongan mereka.

“Isyarat itu diberi untuk PH dan juga untuk kumpulan Bersatu dalam PN. Ia adalah serangan awal dalam perang saraf yang akan terus berlanjutan dalam tempoh terdekat ini.

“Umno memanfaatkan sepenuhnya ketidakstabilan politik sekarang ini untuk keuntungan politik mereka, bahkan boleh dikatakan Umno yang wujudkan ketidakstabilan dalam PN apabila menolak penubuhan gabungan tersebut secara rasmi,” katanya.

Pulangan sokongan tak berbaloi

Menurut Mohd Yusri lagi PH perlu sedar bahawa Umno sedang mengheret keadaan supaya pilihan raya mengejut diadakan dalam masa terdekat.

Di sebalik kewujudan PN sebagai kerajaan ketika ini, ia merupakah gabungan yang tidak berdaftar dan ia pernah dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Majlis Tertinggi Umno juga menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan PN secara rasmi. 

Beberapa kenyataan oleh pemimpin lain dalam Umno turut mengisyaratkan mereka lebih berminat mengukuhkan Muafakat Nasional yang dimeterai bersama PAS sebelum wujudnya PN.

Mohd Yusri menjelaskan, Umno memang berasakan mereka tidak perlu bergantung kepada Bersatu untuk meraih sokongan orang Melayu.

“Jika Umno menerima penubuhan PN, mereka terpaksa berbahagi kerusi di kawasan Melayu dengan Bersatu, sedangkan pulangan sokongan tidak berbaloi.

“Sebab itu Umno lebih berminat untuk kekal dalam gabungan BN bersama MCA dan MIC, serta berpakat dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

“Dengan kekuatan sokongan segmen pengundi Melayu, Umno menjangkakan kombinasi BN dan MN akan memberi peluang lebih besar kepada mereka dalam PRU akan datang, justeru mereka tidak perlu kepada Bersatu,” katanya.

Beliau turut menggambarkan bahawa pemimpin PH yang berada dalam kerajaan sekarang berpotensi akan hilang terus dari radar politik jika pilihan raya mengejut diadakan.

Prof Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin dari Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) pula memberikan pandangan berbeza semasa menanggapi pertemuan Ahmad Zahid dan Najib itu.

Shamsul Amri Baharuddin

Katanya apa yang berlaku dianggap sebagai pembinaan political positioning (pemposisian politik) daripada kedua-dua pemimpin kanan Umno berkenaan yang dibicarakan di mahkamah.

Pada masa sama beliau mengakui bahawa pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada perang saraf dan rancangan Umno ke arah PRU ke-15.

“Pertemuan ini adalah usaha political positioning tunjuk konon-konon kuat oleh dua orang yang masih dibelenggu kes makamah.

“Kalau dua-dua ke penjara apa nak jadi? Umno sangat tak stabil,” katanya.

Menurut Shamsul Amri apa yang disaksikan rakyat dalam senario politik negara adalah parti-parti Melayu yang tidak stabil.

Tambahnya, Umno itu sendiri tidak stabil apabila terdapat beberapa puak dalam parti itu yang diketuai oleh pemimpin-pemimpin kanan mereka.

“Masing-masing risau pengaruh masing-masing. Keadaan Umno ini serupa “stable tension” atau ketegangan yang stabil.

“Perjumpaan itu adalah usaha mengendurkan ketegangan dalaman tersebut,” katanya.

Tinggalkan komen anda