Penyelesaian calon PM PH Plus – tidak selesai


shadow

Masalah siapa calon perdana menteri bagi PH Plus yang selama ini menjadi dilema dan kabur kini sudah selesai dan jelas iaitu – tiada penyelesaian.

Beginilah penyelesaian politik yang selalu diberikan kepada kita. Sebelum ini pada 2015 semasa konflik dalaman Pakatan rakyat dengan PAS, kita bertemu dengan konsep ‘setuju untuk tidak bersetuju’ dan akhirnya Pakatan Rakyat terkubur.

Semua ini adalah bahasa-bahasa rasional yang sudah tidak rasional lagi.

Satu lagi bahasa diplomasi untuk menyedapkan telinga muncul lagi baru-baru ini iaitu ‘PH kekal utuh’ dalam suasana perang dingin sudah mula berlaku antara PKR dengan DAP dan Amanah akibat perbezaan pandangan mengenai calon perdana menteri.

Semua ini adalah naratif yang sedang berkembang menjadi suatu cerita yang seakan-akan menjadi ulang tayang tragedi perpecahan gabungan politik sejak zaman Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan seumpamanya.

PH yang terdiri daripda PKR, DAP dan Amanah sedar bahawa mereka tidak mampu berdiri sendirian baik sebagai pembangkang mahupun kerajaan.

Dalam sejarah politik Malaysia, tidak pernah ada parti tunggal yang mampu menjadi pembangkang apatah lagi kerajaan yang berjaya. Jadi imaginasi-imaginasi ingin keluar atau berdiri sendirian daripada gabungan patut segera dihentikan kerana ia sia-sia belaka.

Realiti baru juga harus kita terima bahawa baik Dr Mahathir Mohamad mahupun Anwar Ibrahim, mereka semakin tidak popular di kalangan rakyat khususnya generasi muda.

Anwar Ibrahim telah diberi peluang mengetuai gabungan pembangkang sejak 2008 dan 2013, tetapi masih gagal menjadi perdana menteri dan menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan Dr Mahathir, beliau juga telah diberi peluang dan diangkat oleh PH termasuk Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kali kedua tetapi tidak berjaya mengekalkan PH sebagai kerajaan walau sepenggal, malah transisi kuasa kepada Anwar juga gagal.

Ini bukan salah Dr Mahathir atau Anwar, tetapi salah kita semua. Kita tidak berupaya melepaskan kedua-dua tokoh ini dalam persaingan politik kita. Kita gagal membina naratif baru hingga kita tersepit dalam masalah kepimpinan yang tak berkesudahan.

Kita bercita-cita mahu menyediakan barisan pemimpin pelapis negara pada masa hadapan. Tetapi selepas 20 tahun sejak reformasi 1998, kita masih tidak berani melepaskan Dr Mahathir dan Anwar, malah sebaliknya kedua-dua tokoh ini kita gunakan sebagai ‘ayam sabung’ untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi.

Maka, terpaksalah kita akur dengan pengajaran paling besar daripada kegagalan ini – bahawa kita harus menanggung dan menerima kekalahan.

Tinggalkan komen anda