SPRM tahan exco Pemuda Bersatu, siasat duit Syed Saddiq hilang


shadow

AGENSI anti rasuah menahan seorang exco Pemuda Bersatu (Armada) berhubung siasatan menjejaki punca wang tunai kira-kira RM250,000 yang dilaporkan hilang di rumah ketua sayap itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hujung Mac.

Exco sayap itu ditangkap lewat malam tadi dan direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ya, ditahan malam tadi berhubung kes kehilangan wang Syed Saddiq,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan. Katanya, pemimpin Pemuda Bersatu itu direman lima hari.

“Ya, bendahari Armada ditahan malam tadi dan tangkapan ini adalah berhubung siasatan kes kehilangan wang Syed Saddiq.

“Kes ini tiada kaitan dengan niat politik dan suspek perlu menjelaskan mengenai wang Armada yang disalah guna oleh pihak tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

SPRM bulan lalu, mengarahkan Syed Saddiq mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan ke atas laporan kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 dari sebuah peti besi di rumahnya.

Arahan itu dibuat ketika agensi anti-rasuah itu menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM berkaitan rasuah.

SPRM membuka siasatan selepas menerima aduan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.

Setakat ini, SPRM dilaporkan sudah mengambil keterangan daripada tiga lagi individu, termasuk Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan.

Polis juga pada masa sama dilaporkan memanggil enam individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan pada 31 Mac lalu, berhubung laporan kecurian.

Syed Saddiq membuat laporan polis pada 29 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendakwa wang yang disimpan dalam peti besi di rumahnya hilang.

Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac.

Awal hari ini, Pemuda Bersatu mendakwa pimpinan sayap itu ditahan oleh agensi anti rasuah, yang mereka percaya ada kaitan dengan pendedahan dan laporan mengenai rakaman audio yang melibatkan presiden parti Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Husamuddin berkata SPRM menahan pimpinan sayap itu, yang tidak dinamakan, lewat malam tadi.

“Armada percaya penahanan ini satu bentuk tekanan untuk mendiamkan ahli Armada yang sebelum ini bersuara dan berbeza pandangan dengan pimpinan atasan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ulya turut menggesa ahli Armada agar tidak tunduk kepada tekanan.

“Kita tidak mahu Malaysia mengundur ke belakang dan kuasa dijadikan alat untuk menunjukkan ahli parti yang berbeza pandangan dan berani bersuara,” katanya.

Dalam satu hantaran di Facebook sebelum itu, Ulya berkata pimpinan yang ditahan adalah mereka yang telah mendedahkan dan meminta SPRM menyiasat rakaman audio yang dilaporkan mirip suara Muhyiddin, yang didakwa menawarkan rasuah.

Dalam rakaman yang tersebar pada hujung minggu lalu, suara mirip Muhyiddin itu terdengar memberi cadangan agar ahli Parlimen Umno dipujuk menyertai Bersatu dengan habuan jawatan sebagai menteri atau mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rakaman audio itu dipercayai dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari, yang sekarang ini jadi titik perbalahan dalam parti yang sedang berpecah itu.

Minggu lalu, Bersatu mengeluarkan surat kepada Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar, memaklumkan beliau bukan lagi ahli parti.

Keahliannya gugur kerana tidak menyokong pentadbiran Muhyiddin dan Perikatan Nasional, serta duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Surat itu juga dikeluarkan kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan tiga yang lain iaitu Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Ahli MPT Maszlee Malik, dan Ketua Bahagian Bersatu Kubang Pasu Amiruddin Hamzah.

Tinggalkan komen anda