‘Tarik tali’ dalam mencari calon PM Pakatan Harapan



Di tengah-tengah pembangkang mendakwa memiliki cukup bilangan anggota Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), perbincangan berkenaan siapakah yang akan menjadi calon perdana menteri masih belum selesai.

Malaysiakini bercakap dengan sejumlah sumber daripada kem-kem yang terlibat dalam perkara itu bagi memahami apa yang berlaku di belakang tabir.

Antara cadangan yang disuarakan ialah untuk pengerusi Bersatu yang dipertikai, Dr Mahathir Mohamad untuk kembali sebagai perdana menteri kali ketiga, walaupun untuk beberapa bulan, sementara pemimpin PH Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.

Kali terakhir berlaku, ia tidak berakhir dengan baik bagi Anwar yang dipecat pada 1998 dan akhirnya dihukum penjara ekoran pertuduhan yang didakwanya sebagai fitnah.

“Daripada apa yang saya tahu, salah satu perkara dibincang adalah dengan Tun (Mahathir) sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri,” kata sumber yang rapat dengan kem Mahathir.

Sumber itu juga mendakwa Anwar telah setuju dengan perkara itu, tetapi ia dinafikan oleh salah seorang pembantunya.

“Ya, ia dibincangkan. Tetapi kita tak akan setuju dengannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi sumber daripada kem yang sama mengesahkannya, dan berkata Anwar telah menolak tawaran tersebut dan ruang perbincangan telah tertutup.

“Dia (Mahathir) yang memulakannya. Dia letak jawatan sebagai perdana menteri (yang membawa kepada keruntuhan kerajaan PH selepas 22 bulan).

“Bagi Datuk Seri (Anwar), mengapa kita mahu beri dia (Mahathir) satu lagi peluang untuk jadi perdana menteri?” soalnya.

Mahathir dan Anwar mendominasi landskap politik Malaysia selama lebih dua dekad. Justeru ada yang mencadangkan calon ketiga bagi jawatan tertinggi itu.

Menurut seorang lagi sumber, ada cadangan untuk menamakan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri pembangkang, atau kini digelar ‘PH plus’.

Shafie Apdal

Bagaimanapun dia mendakwa cadangan itu menemui jalan buntu susulan tiada konsensus daripada parti lain.

Sementara itu, beberapa sumber mendedahkan seorang lagi pemimpin daripada Malaysia Timur turut menginginkan jawatan itu.

“Pemimpin (sebuah parti dari Sarawak) juga mahu peluang (untuk jadi perdana menteri,” dakwanya.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama individu tersebut dan partinya sebelum mendapat maklumat lebih lanjut.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mempunyai perdana menteri atau timbalan perdana menteri daripada Sabah dan Sarawak.

Kedudukan paling tinggi yang dipegang anggota Parlimen dari Malaysia Timur ialah menteri kanan, yang dikatakan sama tarafnya dengan timbalan perdana menteri.

Ia dipegang Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menyokong kerajaan semasa.

“Jadi sekarang ada juga perbincangan untuk kompromi, di mana PH Plus akan mencadangkan dua timbalan perdana menteri, masing-masing dari Sabah dan Sarawak.

“Ini atas dasar mengukuhkan hubungan dengan kedua-dua negeri itu,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber, langkah itu mungkin dapat meyakinkan GPS untuk menyokong PH Plus dan seterusnya menumbangkan kerajaan PN yang kini hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Difahamkan Majlis Presiden PH akan bermesyuarat lagi tengah hari ini untuk membincangkan isu tersebut.

Tinggalkan komen anda