Hina sangatkah Bersatu


shadow

Bersatu Perak meluahkan rasa kecewa dengan saranan pengerusi Umno negeri itu, Saarani Mohamad, agar parti terbabit dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai Umno. 

Setiausaha Bersatu Perak, Zainol Fadzi Paharudin, berkata kenyataan yang boleh menggores sebegitu tidak harus dikeluarkan, lebih-lebih lagi pemimpin Bersatu telah “melayan pelbagai kehendak Umno” sehingga sampai melukakan perasaan ahli parti sendiri. 

Pada masa sama Zainol menasihatkan Umno agar parti terbabit tidak terus bersikap seperti pembuli ketika kedua-dua pihak bekerjasama membentuk kerajaan.

“Pemimpin utama Bersatu – sama ada perdana menteri di pusat dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu – telah melayan pelbagai kehendak Umno. 

“Mereka sanggup korbankan perasaan ahli Bersatu demi menyelamatkan negara, perpaduan bangsa serta mempertahankan agama dan tanah air.

“Buat apa cakap kepada perpecahan? Hina sangatkah Bersatu? Bersatu juga ada maruah dan matlamat perjuangan. 

“Parti bukan agama, janganlah bawa watak pembuli yang tak habis-habis itu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian

Tahun depan boleh bertanding

Kelmarin, akhbar sama melaporkan Saarani membuat saranan agar Bersatu dibubarkan dan semua ahlinya menyertai Umno semula seperti yang dilakukan Parti Semangat 46 pada 1996.

“[…] Semua ahli Bersatu marilah masuk Umno. Tapi tak boleh pegang jawatan lagilah, kena tunggulah.

“Tahun depan ada pemilihan Umno, bertandinglah. Kalau menang, menanglah,” Saarani dipetik sebagai berkata. 

Zainol Fadzi berkata, tindakan cabar-mencabar antara pemimpin Umno dan Bersatu hanya memburukkan imej PN dalam kalangan rakyat yang sedang memerhati gabungan berkenaan. 

Pengerusi Umno Perak yang juga exco kanan negeri itu, Saarani Mohamad

Isu agihan kerusi menjadi perkara yang menjadi perhatian dalam PN, apabila beberapa kenyataan dibuat pemimpin parti mengenainya- terutamanya dari Umno. 

Ia kian panas apabila Ahli Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad – yang memenangi kerusi itu atas tiket Umno dalam PRU lalu sebelum menyertai Bersatu – mengeluarkan kenyataan yang menyentap hati ahli Umno. 

Menteri pembangunan luar bandar itu mendakwa Umno sudah tidak laku di Sabah, dan semua ahli Umno yang keluar parti sudah berhijrah masuk Bersatu. 

Abdul Latiff sudah membuat permohonan maaf atas kenyataannya itu. 

Meskipun begitu, ia masih mengundang reaksi ramai pemimpin Umno yang rata-ratanya menggesa beliau meletakkan jawatan, malah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan tetap bertanding di kerusi Mersing yang disandang Abdul Latiff.

Tinggalkan komen anda