Jangan ghairah rampas Ampang, Gombak hingga tercicir kawasan sendiri – Zuraida


shadow

 Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, mengingatkan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), agar tidak terlalu ghairah mahu menawan kawasan diwakilinya itu, hingga mengabaikan kawasan sendiri.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR, menyifatkan kepemimpinan parti itu memberi tindak balas positif apabila mula menyedari tanggungjawab dan landas perjuangan mereka, selepas ‘tidur’ sejak sekian lama.

“Alhamdulillah, saya sebenarnya berbesar hati dan berbangga kerana PKR memilih Ampang untuk mengadakan program mereka.

“Selama ini mereka tidur dan kini sudah bangkit. Alhamdulillah, kita amat profesional dan akan bertanding secara profesional dan sihat juga. Saya sangat alu-alukan kehadiran mereka kerana jika tidak, mereka tidur,” katanya sinis.

Beliau menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan dibuat Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Konvensyen Penerangan PKR di Ampang, minggu lalu.

Anwar pada konvensyen terbabit menegaskan, PKR berikrar merampas kembali Parlimen Ampang dan Gombak yang ketika ini diwakili Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang disifatkan sebagai kubu kuat parti itu selama ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengingatkan kepemimpinan PKR agar tidak tercicir kawasan sendiri, dalam keghairahan mahu meluaskan kuasa ke jajahan orang lain.

“Saya cuma minta jangan mereka tertinggal kawasan sendiri pula,” katanya.

Azmin dan Zuraida dipecat daripada PKR pada akhir Februari lalu, selepas terbabit dalam gerakan sehingga membawa kepada runtuhkan pentadbiran Pakatan Harapan, yang kemudian diambil alih gabungan Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua mereka adalah Ahli Parlimen Gombak dan Ampang, selama tiga penggal bermula daripada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Tinggalkan komen anda