Ku Li masih hendak jadi PM, kata Nur Jazlan


shadow

TENGKU Razaleigh Hamzah masih bercita-cita mahu jadi perdana menteri, dan kerana itu mencadangkan agar Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak supaya “beri jalan” kepada orang lain, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.

Ahli Parlimen Gua Musang itu, katanya, masih memendam cita-cita tersebut walaupun beberapa gagal dalam pemilihan parti untuk jadi presiden Umno.

“Jadi, saya percaya cita-cita Ku Li itu masih dipendam sehingga ke hari ini dan kenyataan beliau baru-baru ini supaya Najib dan Ahmad Zahid memberi laluan kepada orang lain itu dimaksudkan kepada dirinya,” katanya, seperti dipetik portal berita Malaysia Gazette.

Nur Jazlan mengulas kenyataan Tengku Razaleigh dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia minggu ini.

Dalam wawancara itu, Tengku Razaleigh antara lain meminta Ahmad Zahid dan Najib “beri jalan kepada orang lain”, ketika dua pemimpin itu sedang berhadapan tuduhan jenayah di mahkamah.

Nur Jazlan berpendapat kenyataan Tengku Razaleigh terhadap Ahmad Zahid dan Najib dipengaruhi oleh penyokongnya dalam Umno, yang mahu mengetengahkan beliau sebagai calon perdana menteri.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata, berbanding dengan Tengku Razaleigh yang pernah menentang Umno dari luar, Ahmad Zahid dan Najib telah membuktikan diri mereka berkorban untuk parti dengan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan sekarang.

“Berbeza Ku Li yang tidak pernah berkorban untuk bersara daripada wakil rakyat walaupun berkhidmat selama 46 tahun,” katanya.

Tengku Razaleigh adalah ahli Parlimen 11 penggal sejak 1974 dan sebelum itu menjadi wakil rakyat negeri selama sepenggal selepas pilihan raya umum 1969.

Menurut Nur Jazlan, Tengku Razaleigh terperangkap dalam permainan dalang yang mengutamakan kepentingan peribadi setelah Umno kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Lebih baik kita fokus kepada perpaduan parti menjurus kepada PRU-15 dan kembali berkuasa kerana perpecahan PH (Pakatan Harapan).

“Lepas itu baru kita tentukan kedudukan Presiden Umno dalam pemilihan parti tahun depan,” katanya.

Tengku Razaleigh tewas pemilihan jawatan presiden Umno kepada Dr Mahathir Mohamad pada 1987. 

Episod itu membawa kepada perpecahan besar dalam Umno yang berlarutan sehingga parti diharamkan oleh mahkamah dan ditubuhkan semula pada 1988, sementara Tengku Razaleigh mendirikan Parti Semangat 46.

Selepas membubarkan Semangat 46 pada 1996 dan menyertai Umno semula, Tengku Razaleigh beberapa kali juga gagal mendapat kuota pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan presiden – ketika Umno melaksanakan sistem kuota pencalonan sebagai syarat layak bertanding.

Dalam pemilihan Umno yang terbaharu pada 2018, beliau kalah kepada Ahmad Zahid yang mendahului persaingan lima penjuru. Tengku Razaleigh duduk di tangga ketiga selepas bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tinggalkan komen anda