Surat minta jawatan: ‘Tak patut bocor surat peribadi’ – Wan Fayhsal


shadow

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berpandangan surat peribadi tidak wajar dibocorkan kepada awam kerana ia boleh mendatangkan salah faham.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu surat exco Pemuda Bersatu (Armada) Muzzammil Ismail kepada Menteri Besar Kedah yang meminta dirinya dipertimbangkan jawatan ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Surat peribadi tak patut dibocorkan kepada awam, memandangkan ia mungkin mengundang salah faham, tanpa konteks yang sewajarnya,” katanya dalam satu teks pesanan kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, senator itu menolak untuk mengulas lanjut berkenaan isu berkenaan.

Ahmad Fayhsal merupakan pesaing Muzammil untuk jawatan Ketua Armada dalam pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung serentak dengan perhimpunan agungnya pada Jun ini, namun ditangguh gara-gara wabak Covid-19.

Ada pihak ‘nakal’ buruk imej

Jawatan itu sepatutnya menjadi medan tiga penjuru antara mereka, dengan Ketua Armada yang dipertikaikan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas menteri belia dan sukan yang digugurkan keahliannya akhir Mei lalu.

Perhimpunan agung Bersatu kini dijadualkan pada 27 September.

Baru-baru ini, tular di media sosial, gambar surat daripada Muzzammil kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Surat bertarikh 1 Jun itu memaparkan Muzzammil meminta agar dia dipertimbangkan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Muzzammil (gambar, atas) pula menyifatkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan mahupun menyalahi undang-undang apabila menulis surat berkenaan, sebaliknya menganggap ada pihak tertentu yang bertindak “nakal” untuk memburukkan imejnya kerana menularkan gambar surat tersebut.

“Surat itu tiada satu patah perkataan yang bercanggah dengan undang-undang atau integriti mahupun rasuah.

“Saya berpendapat penyebaran surat yang dikaitkan dengan saya itu tidak lebih daripada tindakan nakal pihak tertentu yang cuba untuk memburukkan imej, saya apatah lagi ketika parti akan berhadapan pemilihan tidak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Sanusi pula mengakui bahawa dia “tidak tahu menahu” berkenaan hal itu.

Exco Pendidikan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (gambar, bawah), juga memberikan pandangan senada dengan Ahmad Fayhsal dan Muzzammil.

“Secara teknikalnya, macam dia minta kerja saja sebenarnya. Jadi, kalau katalah orang itu tak mahu bagi (jawatan yang diminta), tak payahlah bagi. Tak jadi isu pun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, seandainya moral Muzzammil menjadi pertikaian gara-gara surat berkenaan, moral orang yang mendedahkan surat itu juga wajar dipersoalkan.

“Kalau orang nak persoalkan tentang moral Muzzammil, tetapi satu persoalan juga adakah orang yang bocorkan (reveal) surat itu secara moralnya betulkah (tindakannya)? 

“Kenapa nak buat macam itu? Itu sendiri suatu persoalan.

“Pada saya surat itu tak salah seperti kata beliau sendiri memang betul tak salah dari segi undang-undang dan dia dah jawab sendiri itu juga sangat jelas,” kata Asyraf dalam pesanan teks susulan. 

Tinggalkan komen anda