Bersatu ‘lebih Umno’ sekarang, dakwa Kadir


shadow

Selepas menjalani pemilihan buat kali pertama, Bersatu pada hari ini dianggap “lebih Umno” berbanding pada waktu ia ditubuhkan jika dilihat berdasarkan komposisi majlis pimpinan tertinggi (MPT), kata A Kadir Jasin.

Menurut bekas penasihat media Dr Mahathir Mohamad itu daripada 25 orang anggota baru MPT Bersatu, 13 adalah “pejuang asal” manakala 12 lagi merupakan tokoh yang menyertai parti itu selepas Umno tumbang dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Dalam kalangan anggota asal MPT, kata A Kadir, hanya enam berjaya mempertahankan kedudukan dalam pemilihan baru-baru ini, termasuk presiden parti itu, Muhyiddin Yassin sendiri.

Katanya ketika ini anggota MPT baru yang terdiri daripada ahli asal Bersatu dan menyertai parti berkenaan sejak ia ditubuhkan seramai tujuh orang.

Kalangan anggota baru MPT yang menyertai Bersatu selepas PRU ke-14 lalu adalah seramai 12 orang, termasuk beberapa wakil rakyat yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket Umno.

“Mereka ini melompat masuk Bersatu setelah Umno kalah dalam PRU 2018.

“Kesimpulannya, MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2021 ini lebih “Umno” daripada MPT asal atau MPT penaja,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi tadi.

Untuk rekod Bersatu asalnya ditubuhkan oleh sekumpulan anggota Umno yang kecewa dengan parti itu selepas terpalit dengan skandal 1MDB. Ketika itu Muhyiddin merupakan timbalan presiden Umno, manakala presidennya ialah Najib Razak.

Ramai pejuang asal tewas

Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) kemudian dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat untuk menjadi kerajaan pusat serta sebahagian besar negeri lain.

Bagaimanapun melalui Langkah Sheraton, sekumpulan pemimpin PKR berpaling tadah dan berpakat dengan penyokong Muhyiddin untuk meninggalkan PH dan membentuk kerjasama dengan Umno, PAS dan parti lain dalam BN sehingga melahirkan Perikatan Nasional (PN).

Kecuali Bersatu, tiada mana-mana parti lain yang membentuk PN ketika ini mendapat mandat untuk menjadi kerajaan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, baru-baru ini mengakui kerajaan PN dibentuk tanpa mendapat mandat rakyat, sebaliknya hanya melalui “mandat wakil rakyat”.

PN juga dilabel pengkritik sebagai kerajaan pintu belakang atau kerajaan tebuk atap kerana ditubuhkan tanpa melalui pilihan raya umum.

Ekoran perkembangan itu Mahathir yang menjadi salah seorang pengasas Bersatu meninggalkan parti berkenaan bersama sekumpulan kecil anggota parlimen mereka.

Kumpulan itu kemudian menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Ia kemudian menyaksikan pergerakan anggota Bersatu meninggalkan parti berkenaan untuk memberi sokongan kepada Mahathir.

A Kadir merupakan salah seorang anggota MPT Bersatu yang meninggalkan parti tersebut baru-baru ini.

Kata A Kadir pada 22 Ogos lalu Muhyiddin mengumumkan kemasukan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, ke dalam Bersatu dan serentak itu menyatakan keanggotaan parti terbabit kini dibuka kepada semua bangsa.

“Apabila keputusan pemilihan MPT diumumkan, ramai calon daripada kalangan pejuang asal tewas dan digantikan bekas ahli Umno yang melompat parti selepas Umno kalah dalam PRU 2018,” katanya.

Menurut bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu lagi ketika ini Bersatu tidak lagi menjadi sebuah parti pribumi atau bumiputera.

Sebaliknya kata A Kadir, Bersatu kini menjadi parti sama seperti PKR, DAP, PAS dan Gerakan yang membuka keanggotaan kepada semua bangsa.

Dalam hantaran itu juga A Kadir memberitahu, senarai MPT yang menang – dan kalah – dalam pemilihan Bersatu itu dibekalkan oleh orang dalam parti sendiri.

Katanya, ia dibantu oleh bekas kakitangan ibu pejabat parti terbabit, sama ada yang meninggalkan pertubuhan itu secara sukarela atau dipecat.

Berdasarkan senarai yang dibuat, beberapa nama penting – berdasarkan status mereka sebagai anggota asal Bersatu – didapati gagal mendapat tempat dalam MPT.

Antaranya bekas setiausaha politik Mahathir yang pernah didakwa menghentak meja kerana marahkan bekas perdana menteri itu, Zahid Md Arip; bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari; Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Nor; dan Dr Rais Hussin.

Tinggalkan komen anda