Makin ramai pemimpin Bersatu keluar parti


shadow

Seorang lagi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengambil keputusan meninggalkan parti itu hari ini.

Ulya Aqamah Husamudin – yang selama ini dilihat setia kepada Dr Mahathir Mohamad – mengumumkan keputusanya keluar Bersatu sekali gus melepaskan semua jawatan dalam parti.

“Saya Ulya Aqamah bin Husamudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan nombor keahlian 00000060 dengan ini mengisytiharkan keluar parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ulya yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada) turut melepaskan semua jawatan di peringkat nasional dan di bahagian Pokok Sena.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah memberi tunjuk ajar dan peluang untuk saya berkhidmat.

“Saya berharap Bersatu menilai kembali asas perjuangan asal dan kembali kepada objektif penubuhan parti,” katanya lagi.

Ulya menjadi ahli MPT terbaru yang keluar Bersatu, selepas A Kadir Jasin, Tariq Ismail Mustafa dan Abu Bakar Yahya turut mengambil keputusan serupa.

Nombor keahlian Ulya menunjukkan dia merupakan salah seorang anggota terawal Bersatu sebelum ini.

Semoga kembali ke asal

Tindakan keluar parti oleh ahli-ahli Bersatu tercetus selepas Dr Mahathir Mohamad – yang juga anggota parlimen Langkawi – mengumumkan penubuhan parti baru berasaskan Melayu pada Jumaat lalu.

Parti itu belum mempunyai nama atau berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Kata Mahathir, parti itu “bebas” dan tidak terikat dengan mana-mana pihak sama ada Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH), namun boleh menjadi kumpulan yang dapat menentukan siapa yang akan memenangi pilihan raya umum (PRU) nanti. 

Bagaimanapun, Ulya tidak menyatakan sama ada akan menyertai parti baru Mahathir itu atau tidak.

Abu Hafiz Salleh Hudin

Pagi tadi, exco Armada, Abu Hafiz Salleh Hudin turut mengumumkan keluar parti bagi menyokong gerakan baru diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Dengan keputusan tersebut, dia juga melepaskan semua jawatan dalam Bersatu, termasuk exco Armada, Ketua Armada Bahagian Wangsa Maju, dan Ketua Armada Cawangan Teratai Mewah.

“Semoga Bersatu kembali memperjuangkan objektif asal ketika ia ditubuhkan bagi melawan kleptokrasi dan memenuhi aspirasi perjuangan Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi, dia mengesahkan niatnya untuk menyertai parti bekas perdana menteri itu apabila ia ditubuhkan nanti.

“Insya-Allah masuk parti Tun,” katanya kepada Malaysiakini.

Tinggalkan komen anda