‘Masa untuk tinggalkan agenda politik Semenanjung di seberang laut’


shadow

Untuk tempoh beberapa minggu akan datang, Sabah akan mendapat lebih tumpuan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh pilihan raya negeri (PRN) di situ. 

Bukannya Negeri Di Bawah Bayu itu sebelum ini sunyi daripada tumpuan.

Lama sebelum SPR membuat pengumuman berkenaan, negeri yang ditadbir oleh Warisan itu sudah diwarnai pelbagai peristiwa terutama selepas bertukarnya kerajaan di peringkat pusat pada akhir Feb lalu.

Ada cubaan untuk menggulingkan kerajaan Warisan namun langkah yang diambil Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal setakat ini berjaya menghalang perubahan berlaku tanpa pilihan raya seperti di Putrajaya.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung, dia menjangkakan seperti biasa tokoh-tokoh politik dari semenanjung akan berkampung di Sabah sepanjang tempoh PRN nanti bagi berkempen membantu sekutu masing-masing.

Namun, apa yang menjadi kebimbangan Lee, datangnya mereka nanti bukan untuk berkempen bagi mengangkat isu Sabah, sebaliknya menjadikan negeri itu sebagai gelanggang persengketaaan isu-isu Semenanjung Malaysia semata-mata.

“Harapan saya ialah mereka meninggalkan agenda politik Semenanjung di seberang laut sana.

“Saya khuatir Sabah ini menjadi padang kepada persengketaan isu-isu Semenanjung yang tidak membawa kebaikan kepada Sabah sedangkan isu-isu prioriti Sabah sepatutnya dijadikan fokus utama,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Habuan lumayan seludup orang

Kata Lee, selain kelembapan ekonomi akibat Covid-19, Sabah juga bergelut dengan isu setempat yang memerlukan perhatian segera seperti pendatang asing tanpa izin (Pati).

“(Isu Pati ialah) ibu kepada macam-macam masalah di Sabah.

“Pati merupakan punca kepada masalah kanak-kanak tanpa warganegara, masalah setinggan, masalah pencemaran dan penyakit rentas sempadan seperti polio yang tiba-tiba muncul balik baru-baru ini,” katanya.

Isu Pati memang membelenggu Sabah sejak lama sehingga mendorong tertubuhnya suatu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) pada 2012 ekoran dakwaan kerajaan memberikan kerakyatan melalui Projek IC Sabah sekitar 1990-an untuk mendapatkan undi.

RCI itu pada 2014 mengenal pasti wujud sindiket mengeluarkan kerakyatan haram membabitkan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara membabitkan bayaran jutaan ringgit.

Masalah Pati didakwa diburukkan lagi dengan wujudnya banyak laluan tikus di sepanjang 1,700km pesisir pantai di timur Sabah yang luas, serta sindiket haram membabitkan rakyat tempatan.

Sesetengah mereka dikatakan dibayar sehingga RM15,000 bagi setiap seorang Pati yang diseludup. 

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah pada Feb lalu menyasarkan untuk menghantar pulang lebih 13,000 Pati ke negara asal masing-masing pada tahun ini.

Perlu naratif baru

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir, pula memetik satu lagi isu yang berkait rapat dengan isu Pati, iaitu kewarganegaraan yang dianggapnya penting diberi perhatian dalam PRN kali ini.

Katanya, isu tersebut merupakan duri dalam daging di Sabah dan boleh menentukan sama ada seseorang calon itu diterima atau ditolak pengundi.

“Mana-mana pihak yang dilihat dapat menjaga kedaulatan Sabah akan mendapat bonus, manakala yang dilihat cuba menghakis kedaulatan negeri dengan melonggarkan hak kerakyatan akan menerima tempias.

“Ini telah kita lihat dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Jeniri dipercayai merujuk pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijadikan modal kempen oleh BN dalam PRK Kimanis pada Januari lalu sehingga membolehkan gabungan berkenaan – ketika itu menjadi pembangkang di bawah kerajaan PH – berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

PSS sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Jun lalu, bagi menggantikan dokumen warga asing yang lain di Sabah, iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masing-masing dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan MKN.

IMM13 ialah dokumen buat warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an akibat pergolakan di negara mereka, manakala Kad Burung-Burung pula untuk pendatang ekonomi pada 1980-an. Sijil Banci dikeluarkan buat pendatang lain pada 1990-an.

Bagaimanapun, pelaksanaan PSS dibatalkan selepas kekalahan Warisan dalam PRK Kimanis.

Berdasarkan data pada laman seawang Jabatan Perangkaan, setakat suku kedua 2020, daripada 3.91 juta penduduk Sabah, 28 peratus dikategorikan sebagai “bukan warganegara Malaysia”.

Ia adalah angka yang jauh mengatasi kadar bukan warganegara di semua negeri lain.

Berdolak-dalik lepas menang

Antara 2010 hingga 2018, bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah meningkat lebih cepat berbanding pertumbuhan penduduk tempatan, iaitu pada kadar 3.45 peratus berbanding 1.54 peratus setahun.

Tambah Jeniri, perkara lain yang harus diberikan perhatian oleh parti politik ialah memikirkan naratif yang mampu meyakinkan pengundi bahawa perubahan kerajaan pada kali ini bersifat muktamad dan mengakhiri segala ketidaktentuan politik yang berlaku.

“Kerana kedua-dua pihak pun ada katak politik.

“[…] Untuk itu, (perlu) mandat yang betul-betul definitif, yang dapat menentukan majoriti besar di pihak yang menang. Selagi majoriti tipis, kemungkinan besar pisang boleh berbuah banyak kali,” katanya yang meramal berlaku tawaran pelbagai bentuk habuan dan ganjaran sebagai umpan politik jika mana-mana parti mendapat majoriti masih tipis.

Menurut Jeniri, rakyat akan melihat siapakah calon ketua menteri dan calon lain yang dinamakan, dan apakah mereka mempunyai tahap kesetiaan dan keikhlasan yang tinggi, bukan terdiri daripada orang lemah moral dan lemah integriti yang boleh dijual beli.

Pandangan itu turut dikongsi Lee. Katanya naratif baru diperlukan sebagai bahan kempen untuk PRN kali ini, bukannya mengitar semula bahan kempen PRU lalu.

Bahan yang dimaksudkan Lee ialah janji royalti minyak 20 peratus kepada Sabah, tiada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ketua menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan, dan lain-lain.

“Komposisi etnik dan model politik di Sabah berbeza dengan di Semenanjung.

“Sekian lama bila ahli politik dari Malaya datang ke Sabah pun melaung-laungkan dan menjanjikan itu ini tetapi apabila mereka jadi kerajaan, mereka sama ada berdolak-dalik atau gagal menunaikan janji-janji manis mereka,” katanya lagi. 

Tinggalkan komen anda