Mukhriz tak risau tinjauan jangka calon disokong Pejuang kalah teruk


shadow

Presiden Penaja (interim) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir berkata dia tidak risau dengan tinjauan sebuah badan penyelidik yang meramalkan calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Pejuang akan kalah teruk dalam PRK DUN Slim.

“Saya tak pasti macam mana datang ramalan itu. Adakah mereka membuat kajian terperinci atau tidak? Tapi yang akan membuktikan dakwaan itu betul atau tidak ialah esok.

“Jadi, buat apa kita nak buat andaian yang mungkin berasaskan pada benda-benda yang belum pasti. Biar kita lihat keputusan esok,” katanya kepada pemberita di sidang media di bilik gerakan utama Pejuang di Taman Slim Permata, Slim River, petang tadi.

Amir Khusyairi turut hadir dalam sidang media itu.

Mukhriz mengulas dapatan tinjauan Ilham Centre yang menjangka Amir akan kalah teruk.

Menurut badan itu, walaupun Amir lebih menonjol, ia tidak mampu untuk membawa membuat kejutan memandangkan pertimbangan parti mengatasi isu dan calon.

Ilham Centre berkata Pejuang boleh dianggap berjaya jika mampu mengekalkan undi PH dalam pilihan raya umum lalu selain memanfaatkan tempoh kempen untuk melancarkan serangan terhadap Bersatu.

Mukhriz bagaimanapun tetap bersikap optimis terhadap hari pengundian esok.

“Kami mengakui BN memang kuat dengan jentera yang lengkap. Tapi tidak mustahil (untuk menang). Peluangnya 50-50.

“Daripada pengalaman saya dah berapa kali bertanding biasanya kita dapat buktikan mereka yang memberi gambaran begitu negatif sebagai salah.

“Jadi insya-Allah kali ini kita akan buktikan ramalan itu salah,” katanya lagi.

PRK Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib ekoran serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Tinggalkan komen anda