Empat lagi MP Umno nafi terlibat ‘langkah Anwar’


shadow

Semakin ramai Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan bakal bertukar ‘angin’ dan menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu, tampil menafikan penglibatan mereka.

Terbaharu, empat Ahli Parlimen Umno iaitu Hasbullah Osman (Gerik), Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan dua lagi dari Pahang, Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Hasan Arifin (Rompin) turut menyangkal dakwaan yang mengaitkan mereka, kononnya berpihak kepada Anwar.

Keempat-empat mereka, sama seperti beberapa Ahli Parlimen yang lain yang turut berada di dalam senarai 19 orang yang tular di dalam media sosial sejak semalam mendakwa, tidak tahu menahu mengenai perancangan ketua pembangkang itu.

Hasbullah ketika dihubungi Bernama menyifatkan mereka yang menuduh beliau berpaling tadah dan menyokong gerakan Anwar sebagai bercakap bohong.

“Tidak betul.. sokong Anwar bermakna sokong DAP… mereka bercakap bohong sedangkan isu ini saya tidak tahu langsung, saya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak… pembohongan dari pengikut DSAI (Anwar),” katanya.

Beliau berkata ada kemungkinan kemelut itu sengaja diada-adakan bagi mengalih isu memandangkan sokongan kepada PKR di Sabah merosot, selain juga mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 dijalankan segera.

Bercakap kepada Bernama, Ahmad Nazlan turut terkejut apabila mengetahui namanya disenaraikan sebagai seorang yang menyokong Anwar, kerana beliau tidak pernah dihubungi oleh sesiapa pun bagi membincangkan perkara itu dan beliau menganggapnya satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya nafikan perkara itu, apa yang tular itu tidak betul malah saya berpandangan usaha membentuk kerajaan baharu oleh Anwar dalam situasi semasa adalah tidak patut kerana ia memberi risiko kepada keadaan ekonomi negara selain pandemik wabak COVID-19 juga belum berakhir,” katanya.

Hasan pula menyatakan beliau hanya mengetahui bahawa namanya dikatakan sebagai seorang yang menyokong Anwar menerusi aplikasi WhatsApp apabila ditanya oleh kenalannya, bahkan beliau tidak berjumpa sesiapa atau mengetahui hal berkenaan lebih awal.

Tengku Adnan pula dalam kenyataannya menyifatkan kerajaan baharu yang dicanang oleh Anwar, hanyalah sebuah angan-angan Ahli Parlimen Port Dickson itu dan berharap agar tidak ada pihak yang percaya dengan dakwaannya.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak terlibat dan sama sekali, tidak menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu itu.. saya tetap bersama Umno, dulu kini dan selamanya dalam perjuangan sebuah bangsa.

“Kita dalam Umno juga telah putuskan ‘no Tun Mahathir, no Anwar and no DAP’, jadi hentikanlah spekulasi ini dan kita teruskan perjuangan menjaga rakyat dan tetap setia bersama Barisan Nasional (BN),” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, Mahdzir Khalid (Padang Terap), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Idris Jusoh (Besut), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Tajuddin Abd Rahman (Pasir Salak), Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Ahmad Maslan (Pontian), Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) turut menafikan memberi sokongan kepada Anwar.

Ini bermakna dari senarai 19 nama yang tular di media sosial kononnya berpihak kepada Anwar, sekurang-kurangnya, 14 Ahli Parlimen telah menyatakan pendirian mereka yang kekal menyokong kerajaan hari ini pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

– Bernama

Tinggalkan komen anda