Mereka berkuasa, kata bekas MB Johor


shadow

Adun Kempas yang mewakili Bersatu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Osman Sapian, kini menyerahkan nasib dan masa depan politiknya kepada parti berkenaan ketika dia disebut-sebut bakal diadukan ke lembaga disiplin.

Menurut Osman Sapian, setakat ini dia masih lagi anggota Bersatu namun akan menerima apa saja keputusan parti berkenaan.

“Saya serahkan kepada kepimpinan (Bersatu) untuk buat keputusan. Mereka berkuasa,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Osman yang pernah menjadi menteri besar Johor mulai Mei 2018 dan berlanjutan hampir setahun juga menegaskan sebelum ini pun dia menjalankan tugas seperti yang diarahkan pimpinan Bersatu.

“Sebelum ini parti melantik saya jadi menteri besar, saya terima dan jalankan tugas. Jadi kalau parti nak ambil apa-apa tindakan, saya akan terima,” katanya.

Pada masa sama Osman turut mengenang kembali perjalanan politiknya pada peringkat awal kewujudan Bersatu.

Katanya, dia antara orang terawal memperjuangkan parti berkenaan di Johor daripada tiada ahli hingga ada cawangan ditubuhkan di seluruh negeri berkenaan.

Ketika itu kata Osman dia terpaksa banyak berkorban termasuk masa, tenaga dan wang ringgit sesuai dengan kedudukan Bersatu sebagai parti baru dan pembangkang.

Duduk sebelah Muhyiddin

Kedudukan Osman sebagai menteri besar digantikan pada pertengahan April 2019 dan Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal dilantik ke tempat tersebut.

Bagaimanapun tempoh Sahruddin menjadi menteri besar lebih singkat apabila perubahan kerajaan – daripada Pakatan Harapan (PH) menjadi Perikatan Nasional (PN) menyaksikan Adun Umno pula dibawa ke jawatan tersebut.

Di bawah menteri besar baru pula, Hasni Mohammad, Osman dan Sahruddin tidak diberikan sebarang jawatan exco.

Dalam pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu baru-baru ini nama Osman atau Sahruddin juga tidak tersenarai sebagai salah seorang anggotanya.

Osman menarik perhatian ramai apabila muncul menjelang hari mengundi pilihan raya kecil Slim baru-baru ini dan didakwa berkempen untuk calon bebas yang disokong bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Ia mendorong pimpinan Bersatu Pulai berhajat untuk merujuk Osman kepada lembaga disiplin parti.

Sebarang perkembangan membabitkan Adun Johor memang memberi kesan kepada kerajaan negeri. Ketika PN hanya memiliki kelebihan satu kerusi saja berbanding PH dalam DUN, sebarang langkah anggotanya akan memberi kesan besar kepada negeri tersebut, termasuk bertukar kerajaan.

Satu lagi kemungkinan ialah DUN akan tergantung apabila PN dan PH masing-masing memiliki jumlah Adun yang sama.

Sebelum ini perubahan kerajaan didakwa hampir berlaku apabila beberapa Adun Bersatu menyatakan kesediaan kembali kepada PH kerana tidak berpuas hati dengan layanan Umno kepada parti mereka.

Kata Osman jika dia dipecat daripada Bersatu, keputusan itu akan diterimanya namun sehingga 10 Sept ini – apabila DUN Johor bersidang – kedudukannya mungkin akan dipastikan.

Menurut ketua Bersatu Ayer Hitam itu lagi, jika dipecat parti, dia akan duduk sebagai Adun bebas dalam DUN berkenaan dan belum pasti tindakan selanjutnya yang akan diambil sama ada menyertai parti lain atau tidak.

“Namun, jika tidak (dipecat), kerusi saya pada sidang DUN Johor minggu hadapan masih lagi di sebelah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir,” katanya.

Tinggalkan komen anda