Reformasi relevan walau Anwar kurang popular, kata pemimpin PKR


shadow

WALAU populariti Anwar Ibrahim menurun, pemimpin partinya percaya gerakan Reformasi yang dicetuskan presiden PKR itu tetap relevan sebagai gerakan politik utama dalam negara.

Sejak ia digerakkan pada 2 September 1998 apabila Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, gerakan itu memberi sumbangan besar, kata pemimpin ini.

Seorang daripadanya Adun Kota Anggerik Najwan Halimi yang menjelaskan Reformasi bukan hanya satu slogan perjuangan Anwar semata-mata.

Katanya, peranan gerakan itu boleh dilihat dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan sehingga berjaya mengambil alih Putrajaya.

“Slogan reformasi bukan dalam gerakan politik sahaja tetapi sebut perubahan institusi, perubahan pentadbiran, ekonomi, dan sosial. Itu makna reformasi.

“Ia bukan perjuangan daripada Anwar Ibrahim semata-mata. Sama ada Anwar hilang gah atau tidak, itu bukan persoalan besar kerana beliau sendiri tidak mahu dipandang sebagai individu tetapi rakyat faham idealisme reformasi,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Najwan yang merupakan antara barisan pemimpin pemuda parti itu turut menjelaskan, laungan reformasi oleh Anwar sejak 22 tahun lalu tidak pernah luntur hingga ke hari ini.

Oleh itu tidak adil untuk menyatakan usaha Anwar itu bukan untuk pemimpin Malaysia, katanya.

“… (Ini) kerana beliau sentiasa konsisten dengan idealisme Malaysia sebuah negara pelbagai kaum dan perlunya perubahan institusi.

“Anwar tetap pemimpin Malaysia, daripada kenyataan dan ucapan beliau… tidak lari daripada semangat bahawa Malaysia adalah milik semua, bukan individu atau mana-mana parti,” jelasnya.

Gerakan Reformasi itu ditubuhkan sekumpulan NGO dengan membentuk parti Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) sejurus selepas pemecatan Anwar pada 1998.

Usaha itu kemudian menemui jalan buntu. Mereka kemudiannya mengambil alih sebuah parti kecil sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990.

Dengan itu, parti baharu Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada 4 April, 1999 yang seterusnya menjadi PKR (Parti Keadilan Rakyat) pada 3 Ogos, 2003 apabila bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia.

Mengulas falsafah Reformasi, seorang lagi pemimpin PKR Yusmadi Yusuff pula berkata gerakan yang bertahan 22 tahun itu membuktikan betapa Anwar kekal relevan sebagai pemimpin negara.

Senator PKR itu berkata, agenda reformasi masih hidup tetapi sedikit tenggelam apabila ada beberapa isu yang tidak demokratik berlaku dalam negara.

“Sebenarnya Anwar Ibrahim masih konsisten dengan gerakan reformasi yang beliau bina. Agenda keadilan, hak minoriti, dan kebebasan masih lagi menjadi keutamaan.

“Tetapi kita sekarang berhadapan dengan norma baharu politik di mana hak demokrasi dan perundangan dicabuli,” jelas beliau.

Yusmadi merujuk peristiwa Februari lalu apabila beberapa wakil rakyat bertindak melompat parti dan membentuk kerajaan baharu bersama parti yang sudahpun tewas dalam pilihan raya.

“Tidak timbul isu Anwar Ibrahim hanya untuk PKR.

“Sebenarnya PKR perlu membawa semula agenda reformasi ke tengah kerana kita telah ditolak tepi oleh pendekatan politik baharu, yang tidak beretika dan tidak sepatutnya dipegang rakyat.

“Itulah kerja reformasi iaitu perbetulkan keadaan,” tambahnya.

Yusmadi melihat, selepas 22 tahun, agenda reformasi berjaya meningkatkan penyertaan rakyat dalam demokrasi negara.

“Ruang awam kepada masyarakat semakin membesar, tapi apabila tukar kerajaan saya lihat ia kembali menguncup.

“Isu reformasi institusi, ekonomi, kos sara hidup dan teknologi juga menjadi perkara yang penting. Kita dapat lihat penyertaan demokrasi dan suara rakyat dapat diketengahkan,” jelas beliau.

Kedua-dua pemimpin PKR berkata demikian bagi mengulas satu rencana yang menyalahkan Anwar dalam rentetan peristiwa yang menyaksikan PH gagal mempertahankan Putrajaya.

Rencana disiarkan Malaysia Dateline itu juga mengaitkan Anwar yang kini hanya menjadi pemimpin kelompok PKR dan bukan lagi pemimpin harapan Malaysia.

Namun bagi penganalisis politik, kemerosotan pengaruh Anwar itu berlaku hanya dua dekad selepas selepas gerakan Reformasi bermula.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali melihat aura Anwar sebagai tokoh politik masih ada tetapi popularitinya kian menurun.

Tambahnya, agenda reformasi itu juga masih kuat kerana beliau konsisten melawan rasuah dan menjunjung nilai integriti.

“Perjalanan politik Anwar Ibrahim selama 22 tahun penuh bergolak. Beliau dipenjarakan dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail menjadi pengganti.

“Dalam tempoh itu, beliau banyak masa di mahkamah dan di dalam penjara. Banyak tokoh politik baru lahir antaranya Mohamed Azmin Ali yang mempunyai pengaruh dan boleh mencabar Anwar,” kata pensyarah kanan politik itu.

Tambahnya, imej Anwar juga sering dikaitkan dengan naratif negatif oleh musuh politik seperti gay, berpendirian liberal, dan menyokong kebebasan agama menyebabkan sebahagian auranya hilang.

Selain itu, pengaruh Anwar juga tenggelam dan dibayangi pemimpin politik lain apabila tidak mengambil peranan secara khusus dalam pentadbiran PH, katanya.

“Kita lihat tiga tokoh lain – (para) perdana menteri, Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad dan bekas perdana menteri Najib Razak yang berjaya mencuri perhatian.

“Ketika Anwar dipenjara, Dr Mahathir muncul melawan Najib dan dilihat penyelamat negara kerana memenangi PRU14.

“Najib Razak pula walaupun kalah PRU14, beliau berjaya menjenamakan semula dirinya dengan panggilan ‘Bossku’.

“Muhyiddin Yassin pula berjaya curi peluang dan perhatian apabila menjadi perdana menteri pada Februari lalu bersama polisi-polisi yang disenangi rakyat,” katanya.

Pada masa inilah pengaruh Anwar merosot, katanya.

“Anwar pula berada di celah-celah pemimpin ini. Apabila tidak dapat menjadi perdana menteri seperti yang dijanjikan, sedikit sebanyak beliau tenggelam dengan populariti pemimpin ini,” jelasnya.

Malah selepas PH kehilangan kuasa di Putrajaya, gabungan parti berkenaan masih buntu dan terus berbeza pandangan untuk menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Akhirnya, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dari parti Warisan pula muncul sebagai calon jawatan itu. 

Tinggalkan komen anda