Saya boleh berhenti bagi nasihat – Ku Li


shadow

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, menegaskan akan tetap memberi pandangan dan nasihat kepada ahli parti selagi menjawat jawatan itu.

Tengku Razaleigh berkata, pandangannya dalam semua perkara berkaitan parti adalah untuk kebaikan bersama dan menarik sokongan ahli bawahan secara berterusan.

Beliau berkata, segala pandangan menyentuh kepimpinan termasuk pemimpin UMNO dalam Kabinet adalah untuk menyampaikan ketidakpuasan hati rakyat.

“Saya kena jawab sebab dilantik sebagai penasihat, kecuali kalau tak nak bagi saya jadi penasihat lagi, saya boleh berhenti nasihatlah.

“Saya tak kritik, saya ulang saya tak kritik sesiapa. Saya tak campur urusan parti lain, (sebaliknya) saya hanya bagi pandangan ahli UMNO yang menemui saya,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan ketua dan wakil peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR bagi membincangkan tuntutan ladang sawit selepas tanam semula di Bukit Chekati di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu berikutan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti, sekali gus menghilangkan kelayakan parti itu sebagai anggota Pakatan Melayu Islam didukung Muafakat Nasional (MN).

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, beliau juga menyampaikan pandangan orang bawahan yang melihat menteri yang dilantik daripada UMNO tidak diberi muka dalam kerajaan PN.

“Apa guna duduk situ. Itu pandangan orang bawah yang saya sampaikan dan ada orang tiada jawatan dalam parti pun ada kedudukan tinggi.

“Orang kita yang ada pegang jawatan sebagai Naib Presiden dalam parti pun tiada ada kedudukan (dalam Kabinet), seolah-olah begitulah,” katanya.

Tinggalkan komen anda