5 ahli Parlimen Pejuang bawa usul tak percaya kepada PM


shadow

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) memaklumkan pihaknya memutuskan untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ketua Penerangan Penaja Pejuang, Dr Maszlee Malik, kelima-lima mereka akan membawa usul itu pada sesi Dewan Rakyat tidak lama lagi.

“Keputusan ini diambil kerana kegagalan PM mentadbir kerajaan sewaktu pandemik Covid-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang dipunyai oleh PM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelima-lima ahli Parlimen Pejuang yang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen Langkawi, Ahli Parlimen Jerlun, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Ahli Parlimen Seri Gading.

Pejuang terdiri daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Datuk Amiruddin Hamzah dan Maszlee sendiri.

Sebelum ini, Amiruddin Hamzah mengesahkan beliau telah memfailkan usul itu semalam.

“Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap YAB Perdana Menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang parlimen yang akan datang.

“Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam PRU-14 dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil. Bagaikan telur di hujung tanduk,” katanya juga dalam satu kenyataan.

Persidangan Dewan Rakyat dijangka akan bermula pada 2 November ini.

Mahathir sebelum ini sendiri telah cuba mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dalam dua sesi di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda