AMK Kelantan buat laporan polis terhadap Muhyiddin


shadow

Pemuda PKR (AMK) Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkait dakwaan pemimpin Bersatu itu melakukan sogokan jawatan kepada seorang anggota parlimen.

Ketuanya, Muhd Hafiz Muhd Kasasi, berkata laporan polis itu – dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu – dibuat berdasarkan kenyataan dan surat dikeluarkan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang disiarkan di laman Twitter dan Facebook.

“Beliau (Tengku Razaleigh) memaparkan surat berkenaan yang menyatakan usul undi tidak percaya, pada perenggan ketujuh, dan juga menyebut bahawa beliau ditawarkan jawatan penasihat Petronas daripada perdana menteri.

“Kami mendapati perkara ini menimbulkan soal integriti seorang pemimpin utama negara. Tindakan ini juga melanggar perlembagaan dan undang undang.

“Justeru, AMK Kelantan membuat laporan ke atas Muhyiddin agar pihak berkuasa menyiasat tindakan yang dilihat mempunyai unsur sogokan politik demi kepentingan untuk kekal berkuasa,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Pada 14 Okt lalu dalam sepucuk surat Tengku Razaleigh mendakwa Muhyiddin menawarkan jawatan penasihat Petronas kepadanya yang secara tradisi ditawarkan kepada seseorang bekas perdana menteri.

Tengku Razaleigh bagaimanapun menolak tawaran berkenaan kerana bimbang ia bercanggah dengan Perkara 48 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai “hilang kelayakan keanggotaan Parlimen” jika memegang sesuatu jawatan berpendapatan.

Katanya lagi, peruntukan itu untuk mencegah ahli parlimen daripada membuat sokongan atau mengundi menyokong kerajaan kerana “penyogokan politik”.

Sementara itu Muhd Hafiz berkata, pihaknya kesal dengan tindakan ‘political survival’ yang dibuat oleh Muhyiddin itu.

“Kami berharap perkara ini diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.-Mkini

Tinggalkan komen anda