Annuar bingung isu perebutan jawatan PM


shadow

Tan Sri Annuar Musa mengakui dirinya kebingungan ekoran situasi perebutan jawatan Perdana Menteri (PM) yang menjadi kecoh sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara itu sudah menjadi topik besar yang dibincangkan berbanding perkara penting menjaga hak dan kepentingan rakyat dalam situasi mendesak ketika ini.

“Saya merasakan terlalu banyak daripada kita sibuk nak beri kepada siapa jawatan, kepada siapa patut diberi kuasa dan sebagainya.

“Kurang sekali kita duduk untuk membincangkan agenda yang dihadapi oleh orang Melayu, agenda yang dihadapi oleh orang miskin, agenda yang dihadapi oleh rakyat, agenda yang dihadapi tentang masalah Covid-19, kesusahan rakyat dan sebagai.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya merasakan tidak ada bezanya apa yang diperkatakan orang ramai dengan tumpuan kita kepada masalah-masalah rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ciapannya di Twitter apabila mengingatkan agar ahli Parlimen yang sudah lama supaya faham peraturan Dewan Rakyat dan membantu mengharmonikan situasi dan bukannya mengambil kesempatan menambah kekeliruan orang ramai.

Ciapan itu dipercayai sebagai respon beliau terhadap pertimbangan UMNO yang mahu menarik diri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut Annuar berkata, sebagai Ahli Parlimen Ketereh, beliau sering memikirkan tentang parti-parti orang Melayu.

Katanya, beliau merasakan bahawa orang Melayu sendiri pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) mahu Melayu bangsanya menjadi sebuah bangsa yang bersatu.

Ini kerana katanya, orang Melayu adalah teras kepada politik nasional dan jika ia dapat dilakukan bangsa lain juga akan sama-sama mensejahterakan negara ini.

“Tetapi kalau orang Melayu sebagai kelompok teras gagal menyatupadukan Melayu keseluruhan politik Melayu tidak akan stabil

“Kita kena faham ketidakstabilan antara orang Melayu sekarang ini adalah disebabkan orang Melayu sebelum 2018. Adakah tak cukup (pemberian kerajaan), kita kena lihat,” ujarnya.

Annuar turut mempersoakkan sama ada pertukaran Perdana Menteri perlu dilakukan tiga kali dalam setahun.

“Siapa yang dapat faedahnya. Yang penting kita kena lihat kestabilan rakyat.

“Tapi nampaknya pada masa ini mereka-mereka yang diberi kepercayaan yang besar oleh rakyat, yang lama dan lebih berpengalaman dalam politik lebih ghairah memikirkan tentang kedudukan dan jawatan, lebih dari hendak berkhidmat untuk rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda