DAP terkejut, terkilan pelawaan kerjasama PH-UMNO


shadow

DAP Johor melahirkan rasa terkejut dan terkilan dengan kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang bersedia menjalinkan hubungan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan di negeri itu.

Malah PH Johor juga memberi gambaran ia mampu menjadi kenyataan sekiranya UMNO menarik diri dari Perikatan Nasional (PN).

Menurut kenyataan DAP Johor, Majlis Pimpinan PH mengamalkan pendekatan musyawarah dalam setiap perancangan dan tindakan.

“Sebagai salah satu parti komponen PH negeri, DAP Johor berasa agak terkejut dengan kenyataan berkaitan pelawaan kerjasama PH-UMNO Johor untuk bentuk kerajaan negeri. Hal ini tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Pimpinan PH Johor

“Pada hemat kami, sebarang usaha atau strategi untuk mengembalikan mandat rakyat dan membentuk kerajaan haruslah dalam makluman dan persetujuan bersama Majlis Pimpinan PH Johor,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas kenyataan PH Johor yang sedia menjalinkan hubungan dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan negeri sekiranya parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada PN.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, UMNO perlu menjadi gentleman dalam membuat keputusan dengan tidak melakukan ugutan politik pada saat negara berhadapan wabak Covid-19.

Katanya, PH Johor bersedia menerima ADUN, khususnya yang pernah bersama PH ketika Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mahupun mana-mana ADUN UMNO untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda