Polis sahkan siasat 6 kes terhadap Anwar termasuk liwat


shadow

Pihak polis mengesahkan sedang menyiasat Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung enam kes termasuk penyebaran senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya dan kes liwat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed, berkata siasatan dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

“Keterangan diambil berhubung penyiasatan ke atas penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen dalam portal MH Daily yang menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Huzir, sebanyak 113 laporan polis diterima berhubung dakwaan sokongan itu, termasuk daripada kalangan ahli parlimen yang menafikan memberi sokongan terhadap Anwar.

“Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa hingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat.

“Kenyataan di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,” katanya.

Menurut Huzir, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Justeru Huzir menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak polis agar dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Selain kes melibatkan senarai ahli parlimen itu, lima kes lain yang disiasat ialah:

1. Isu kenyataan bahawa kerajaan pimpinan perdana menteri telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat;

2. Kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam;

3. Video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP);

4. Video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam negara Malaysia;

5. Sidang media penyerahan dokumen sahih kepada ke bawah Duli Yang maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. -Mkini

Tinggalkan komen anda