Cabaran menanti Maszlee selepas keluar dari bayangan Dr M


shadow

Selepas keluar dari bayangan politik Dr Mahathir Mohamad, Maszlee Malik mungkin boleh mencipta jenama politiknya sendiri, tetapi kemungkinan beliau berdepan saingan sengit dalam pilihan raya umum, kata penganalisis.

Penganalisis sosio-politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ia merupakan langkah baik bagi Maszlee dan bekas rakan seperjuangan PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk keluar dari bayangan Mahathir.

“Dengan menjauhkan diri, mereka boleh bina nama dan jenama sendiri. Mahathir adalah nama besar dan sukar untuk menjadi lebih besar daripada Mahathir,” katanya kepada FMT.

Sebagai contoh, katanya, kebanyakan kenyataan awal dari parti politik baru Mahathir, Pejuang, hanya mempunyai tandatangan Mahathir.

“Hanya sekarang kenyataan ditandatangani semua 4 ahli Parlimen Pejuang.”

Empat ahli Parlimen yang masih berada dalam Pejuang adalah Mahathir, anaknya Mukhriz, Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.

Semalam, Maszlee berundur sebagai penaja penubuhan parti itu, setelah “yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elit”.

Bagaimanapun, Awang Azman mengingatkan Maszlee mungkin memerlukan strategi tepat untuk mencipta jenama sendiri, tanpa kelebihan orang kuat politik menjadi mentornya.

Maszlee, 46, bekas menteri pendidikan, merampas kerusi Parlimen Simpang Renggam daripada Gerakan dengan majoriti 3,475 undi pada Pilihan Raya Umum 2018.

Ketika menjadi menteri, Maszlee pernah dipuji dan dikritik atas usahanya. Antara perubahan dilaksanakannya ialah membenarkan pelajar sekolah rendah memakai kasut hitam ke sekolah dan pelajar universiti mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Namun, Awang Azman merasakan Maszlee, sebagai calon bebas, mungkin berdepan saingan sengit menentang lawan dari Umno yang dilengkapi jentera kuat dalam usahanya mempertahankan kerusi itu.

“Sebagai calon bebas, beliau mungkin tidak ada peruntukan dan mungkin berdepan cabaran kewangan.”

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, Maszlee mungkin mengambil keputusan itu selepas memikirkan masa depan Pejuang.

“Kedudukan parti itu masih terawang-awang kerana ia sedang menunggu kelulusan.”

Tambahan, katanya, timbul persepsi pesaing politik menggunakan orang yang setia kepada Mahathir untuk menyerang veteran berusia 95 tahun itu.

Sebagai contoh, anaknya Mukhriz diserang kerana menggunakan nama Mahathir bagi mencapai cita-cita politiknya.

Azmi berkata, Maszlee akan mengetahui keburukan menjadi ahli Parlimen bebas tidak lama lagi.

Katanya, ahli Parlimen perlu memahami mereka masih memerlukan parti politik untuk bertahan dari segi kewangan.

“Sekiranya Maszlee mahu bertahan, beliau memerlukan sokongan sebuah parti politik; jika tidak, akan jadi lebih sukar baginya.”

Syed Saddiq, yang meninggalkan PPBM awal tahun ini, bertindak menubuhkan parti politiknya sendiri, Muda, yang masih menunggu didaftarkan.-FMT

Tinggalkan komen anda