Jangan dengki, kata Timbalan Presiden Pas bila wakil rakyat naik elaun


shadow

Susulan Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan barisan exconya bakal dinaikkan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang, ramai pihak melahirkan rasa tidak puas hati.

Keputusan kerajaan Pas Kelantan itu mengundang sindiran bahkan ada yang mengecam kerana tidak patut diumumkan ketika rakyat sedang terhimpit kesan daripada wabak COVID-19.

Berikutan ini, Timbalan Presien Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipercayai ditujukan kepada mereka yang mengkritik keputusan kerajaan Pas Kelantan itu menyifatkan ia sebagai perbuatan dengki.

Katanya, Allah sudah tentukan setiap manusia mempunyai rezeki bahagian masing-masing dan meminta jauhi sifat dengki terhadap rezeki seseorang itu.

“Setiap manusia telah ditentukan lorong rezekinya oleh Allah SWT. Jauhi sifat dengki sesama manusia kerana Allah SWT telah menentukan bahagian masing-masing,” tulis Tuan Ibrahim di media sosialnya hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kenaikan gaji diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Menurut Mohd Amar gaji wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan mencatat belanjawan defisit dianggarkan bernilai RM66.02 juta dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persidangan kali ini juga meluluskan rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan serta penyelarasan gaji.-MalaysiaDateline

Tinggalkan komen anda