Lokman Adam banyak kali cabar Muhyiddin


shadow

Datuk Lokman Noor Adam yang ditangkap lewat malam tadi pernah beberapa kali mencabar Muhyiddin Yassin agar menangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi FB Live pada 28 Oktober lalu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu turut menyelar Muhyiddin yang dianggapnya memecah-belahkan Umno.

“Belajarlah bertaubat, menjalani hubungan silaturahim yang kau (Muhyiddin) dah pecahkan dengan orang Umno ini.

“Bukan dengan cara mengugut macam ini. Kena ingat Muhyiddin, kau ingat kau tangkap Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Najib, kau ingat kita orang lepas ini akan duduk diam ke?

“Cuba buat, cuba buat, kalau kau nak tengok apa berlaku. Negara ini ada undang-undang. Jangan jadikan negara ini mengamalkan undang-undang rimba,” tegasnya beberapa kali mencabar Muhyiddin.

Lokman yang merupakan orang kanan Datuk Seri Najib Razak juga mengaitkan dengan ‘Geng Publika’ merujuk kepada beberapa pemimpin yang dikatakan kerap bermesyuarat dengan Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Saya tahu malam tadi geng-geng Publika Azmin Ali pun ada semalam (27 Oktober) bersama Hamzah. Sudah bercadang hendak menangkap Anwar Ibrahim dan selepas itu Datuk Zahid (Hamidi).

“Cuba buat. Saya cabar. Kita tengok apa berlaku,” tegas Lokman sebelum mengakhiri FB Live tersebut iaitu empat hari sebelum dia ditahan.

Untuk rekod, Publika, sebuah pusat membeli belah elit di tengah ibu negara menjadi lokasi pertemuan Hamzah dengan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas.

Malam tadi, Lokman ditangkap polis di sebuah restoran ketika bersiaran melalui FB Live membincangkan Belanjawan 2021.

Dia sebelum itu antara lain mendakwa setiap Ahli Parlimen bakal disogok peruntukan berjumlah RM3 juta jika Belanjawan 2021 diluluskan.-MalaysiaDateline

Tinggalkan komen anda