Rakyat bosan dengan politik kepartian


shadow

Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan perpaduan ialah masa depan Malaysia kerana rakyat semakin muak dengan permainan politik ketika penularan Covid-19.

Bekas perdana menteri itu dipetik The Malaysian Insight sebagai berkata, rakyat bosan dengan politik kepartian yang memecahbelahkan negara serta memburukkan lagi masalah yang dibawakan pandemik.

“Ini satu pendekatan yang baik. Ada masanya rakyat juga sudah bosan dengan politik parti. Ada kebaikan jika kita ada kerajaan nasional yang tidak mengutamakan politik parti.

“Saya masih berpendapat pada waktu ini, kalau kita mahu kurangkan politik, kita ketepikan parti, kita utamakan negara,” katanya kepada portal berita itu.

Beliau membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memfokuskan politik dan mengutamakan kedudukannya, dengan memberi contoh Pilihan Raya Negeri di Sabah yang berpunca daripada beberapa Adun Pakatan Harapan (PH) menyokong Musa Aman dalam usaha membentuk kerajaan negeri baru.

Pengerusi Pejuang itu berkata, tiada keperluan untuk PN cuba merampas kuasa di Sabah kerana ia tidak mendatangkan impak positif ke atas ekonomi, sebaliknya membawa kesan buruk.

“Kalau dahulu kita sudah kurangkan jumlah pesakit baru sehingga tinggal satu saja di seluruh negara, tetapi sekarang ini sudah naik sampai 1,200 kes sehari…sebabnya kerana kita pergi di Sabah dan melanggar SOP.”

Cadangan untuk kerajaan perpaduan julung kali dibangkitkan Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri sementara Februari lalu, ketika kemelut politik tercetus susulan kejatuhan kerajaan PH.

Cakap-cakap mengenai cadangan kerajaan perpaduan timbul sekali lagi akhir bulan lalu selepas Mahathir menemui ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, serta seorang menteri persekutuan.

Sumber memberitahu FMT, Mahathir menemui Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu secara berasingan.

Sementara itu, sebagai tindak balas kepada permainan politik dalam negara ini, khasnya dalam beberapa tahun ini, Malaysian Action for Justice and Unity (Maju) dan NGO lain menubuhkan Gerak Independent, bertujuan menggalakkan calon bebas bertanding pada pilihan raya akan datang.

Antara tokoh yang mewakili Gerak Independent adalah bekas ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail, yang berkata sudah sampai masanya untuk negara menyingkirkan politik kepartian dan panglima politik.-FMT

Tinggalkan komen anda