Ahmad Faizal reda, janji peralihan kuasa lancar


shadow

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tewas dalam undi tidak percaya hari ini tidak mahu memanjangkan masalah politik di negeri itu.

Beliau dalam ucapan sebelum sidang DUN Perak ditangguhkan berkata, dia reda dengan keputusan yang telah dibuat.

Justeru beliau berjanji untuk memastikan peralihan kuasa berlaku dengan lancar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli yang berhormat yang sama-sama kita telah membuat keputusan

“Saya terima dengan penuh reda dan saya fikir dalam waktu kita menghadapi keadaan yang tidak menentu, keadaa ekonomi, masalah pekerjaan di kalangan rakyat dan sebagainya masalah politik ini tidak perlu kita panjang-panjangkan.

“Saya selaku Menteri Besar waktu ini ingin memberi satu komitmen untuk memastikan transisi kepada kerajaan yang baharu akan dibuat dengan penuh berhemah demi kepentingan rakyat.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang ADUN dan rakan seperjuangan saya di dalam Pakatan Harapan. I miss you guy sometime seriously (gelak).

“Begitu juga saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan majlis mesyuarat negeri sekarang yang saya kira telah menyediakan hari ini Belanjawan yang saya kira sangat baik,” ucap Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal tewas dalam usul undi percaya yang dilakukan terhadap beliau hari ini.

Dalam usul yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersetuju, 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali terhadap kedudukan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Seseorang Menteri Besar memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 Adun sebagai majoriti mudah.-SM

Tinggalkan komen anda