Ajax jumpa PAOK kelayakan ketiga Liga Juara-Juara



PARIS: Pasukan yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Ajax hari ini diundi berdepan juara Greece, PAOK Thessaloniki pada pusingan ketiga kelayakan bagi layak ke peringkat kumpulan tahun ini.

Skuad dari Belanda itu tidak dijamin kelayakan automatik ke peringkat kumpulan walaupun menang Eredivisie buat kali ke-34 dan mereka juga hampir layak ke final Liga Juara-Juara.

Jika mereka menewaskan PAOK, skuad kendalian Erik ten Hag masih perlu menang play-off bagi menyertai pasukan seperti Liverpool, Real Madrid dan Juventus dalam kejohanan utama.

Ia bukanlah lawan mudah buat Ajax yang sudah kehilangan beberapa pemain daripada skuad muda mereka.

Pertahanan tengah, Matthijs de Ligt meninggalkan kelab itu untuk menyertai Juventus manakala pemain tengah, Frenkie de Jong ke Barcelona.

PAOK tidak tewas dalam landasan memenangi Liga Super Greece, menamatkan saingan lima mata di atas Olympiakos ketika mereka menguasai gelaran liga pertama mereka dalam tiga dekad.

Perlawanan pertama akan berlansung di stadium PAOK, Toumba pada 6 atau 7 Ogos dan ke Amsterdam seminggu kemudian. – AFP

Tinggalkan komen anda