Emery minat Ceballos



WASHINGTON: Pengurus Arsenal, Unai Emery mengakui meminati pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos dan mendedahkan kelab Liga Perdana itu sedang berusaha untuk mendapatkan seorang pemain.

Pasukan dengan julukan Gunners itu masih belum membuat pembelian mengagumkan pada jendela perpindahan ketika ini tetapi media Britain melaporkan Ceballos, 22, hampir untuk melengkapkan perpindahan secara pinjaman penuh ke London.

“Kami bercakap mengenai kemungkinan untuk menandatangani seorang pemain,” kata Emery menjelang perlawanan terakhir Piala Juara-Juara Antarabangsa menentang Real di sini, esok.

“Kami sudah mempunyai beberapa nama dan kelab sedang berusaha.

“Ceballos pemain yang amat bagus. Saya mengenalinya sejak di (Real) Betis pada permulaannya dan di Real Madrid. Dia bermain dengan amat baik bersama skuad Bawah 21 tahun (Sepanyol), dengan pasukannya memenangi Kejuaraan Eropah. Dia boleh bermain di posisi nombor lapan atau sepuluh.”

Jika Arsenal menewaskan Real, mereka akan pulang ke England dengan rekod 100 peratus dari Jelajah Amerika Syarikat.

Pemain-pemain muda Arsenal tampil dengan persembahan hebat apabila meledak tujuh daripada lapan gol yang dijaringkan pasukan itu tetapi Emery merancang untuk memberi lebih banyak peluang terhadap pemain senior bermain menentang Real.  – Reuters

Tinggalkan komen anda