Ronaldo bebas dakwaan rogol di AS



LAS VEGAS: Bintang Portugal Cristiano Ronaldo tidak akan berdepan dakwaan di Las Vegas berhubung tuduhan serangan seksual 10 tahun lalu kerana kes berkenaan tidak dapat dibuktikan melampaui keraguan munasabah, kata pihak pendakwaan.

Ronaldo, salah seorang pemain bola sepak paling hebat sepanjang zaman dan kini bersama kelab Itali, Juventus, menafikan pernah melakukan serangan sedemikian.

Dakwaan itu timbul tahun lalu selepas polis Las Vegas mengatakan mereka sedang menyiasat perkara berkenaan.

Kes itu bermula daripada panggilan seorang wanita kepada polis Las Vegas pada 13 Jun 2009. Wanita itu melaporkan dia diserang secara seksual dan polis membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.

Namun wanita itu enggan mendedahkan siapa yang menyerangnya.

Wanita berkenaan dan Ronaldo mencapai penyelesaian sivil pada tahun 2010 dan pihak berkuasa hanya menerima panggilan daripada wanita itu pada 28 Ogos 2018, apabila dia meminta polis untuk membuka semula siasatan. Dia menuduh Ronaldo adalah individu yang menyerangnya.

“Berdasarkan penilaian terhadap maklumat yang ada ketika ini, dakwaan serangan seksual terhadap Cristiano Ronaldo tidak dapat dibuktikan melampaui keraguan munasabah,” kata Pejabat Pendakwa Raya dalam satu kenyataan. – REUTERS 

Tinggalkan komen anda