Pasaran minyak mula tidak seimbang


shadow

LONDON: Penggunaan minyak global merosot pada kadar terpantas selama hampir lima tahun ketika mana aktiviti pembuatan dan aliran perdagangan menyusut di seluruh dunia dan pengeluaran kenderaan turut jatuh.

Permintaan di 18 negara pengguna utama, masing-masing menggunakan lebih satu juta tong sehari, jatuh hampir 0.2 peratus dalam tempoh tiga bulan antara bulan Mac dan Mei berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Penggunaan minyak jatuh pada kadar terpantas sejak suku ketiga 2014, demikian menurut data kerajaan yang dikemukakan kepada Inisiatif Pengurusan Data Bersama.

Penyusutan penggunaan lima tahun yang lalu, digabungkan dengan pengeluaran minyak syal Amerika Syarikat (AS) dan keengganan Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran, menjurus kepada kejatuhan harga pada 2014-2016.

Kali ini, penggunaan juga terhenti, dan pengeluaran syal melonjak semula, tetapi pengurangan pengeluaran Arab Saudi mengehadkan kejatuhan harga.

Harga niaga hadapan Brent merosot sebanyak AS$27 satu tong, atau sekitar 30 peratus, setakat ini daripada paras puncak baru-baru ini berbanding penurunan hampir AS$90, atau 77 peratus, antara Jun 2014 dan Januari 2016.

Bagaimanapun, seperti episod-episod sebelumnya tempoh harga yang lebih rendah akan diperlukan untuk mengekang pertumbuhan pengeluaran syal dan menjadikan penggunaannya lebih murah bagi memulihkan keseimbangan pasaran.

Pelarasan itu sedang berlangsung, dengan jumlah penggerudian minyak di AS turun sebanyak hampir 120 atau 13 peratus, dalam tempoh sembilan bulan terakhir.

Pertumbuhan pengeluaran minyak mentah AS berkurang kepada sekitar 1.6 juta tong sehari, turun daripada lebih 2.0 juta tong sehari pada penghujung 2018.

Sebagai peraturan praktikal, ia memerlukan 3-4 bulan bagi perubahan dalam harga penanda aras minyak mentah untuk menyaring kadar penggerudian AS dan 9-12 bulan untuk memberi kesan kepada pengeluaran.

Kejatuhan harga minyak yang berterusan sejak Oktober 2018 akan menyebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pengeluaran AS pada suku keempat 2019 dan separuh pertama 2020.

Pengeluaran dan penggunaan perlu diimbangi semula pada pertengahan 2020, dengan syarat ekonomi global tidak tergelincir dalam kemelesetan sementara, mengurangkan lagi penggunaan minyak.

Risiko kemelesetan kini adalah faktor tunggal terbesar yang memacu harga minyak kerana ia akan menentukan sama ada kejatuhan harga baru-baru ini mencukupi untuk mengimbangi semula pasaran, atau sama ada kemerosotan yang lebih mendalam dan lebih lama diperlukan. – Reuters

Tinggalkan komen anda