Saham berkaitan PETRONAS menokok selepas menang bida di Brazil


shadow

KUALA LUMPUR: Saham berkaitan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) diniagakan lebih tinggi di bursa tempatan susulan kejayaannya memenangi tiga blok cari gali semasa pusingan bidaan blok cari gali Brazil yang diadakan di Rio de Janeiro semalam.

Pada 10.19 pagi, saham Petronas Chemical melonjak 10 sen kepada RM7.19 dengan 165,800 unit bertukar tangan manakala saham Petronas Gas meningkat dua sen kepada RM16.40 dengan 100 saham diniagakan.

Saham Petronas Dagangan pula naik empat sen kepada RM23.14 dengan 2,200 saham diniagakan.

Anak syarikat Petronas, Petronas Petróleo Brasil Ltda (PPBL) memenangi Blok CM 661, CM 715 dan CM 541, kesemuanya terletak di Lembangan Campos, luar pesisir Brazil, menurut pengumuman awam yang dibuat oleh Agensi Petroleum, Gas Asli dan Biobahan Api Nasional Brazil (ANP) semasa Pusingan Bidaan Konsesi 16 Pusingan ANP.

Bagi Blok CM 661 dan CM 715, PPBL sebagai pengendali memegang 100 peratus kepentingan ekuiti manakala bagi Blok CM 541 pula, Total dari Perancis sebagai pengendali memegang 40 peratus ekuiti, Qatar Petroleum (40 peratus) dan PPBL menguasai baki 20 peratus. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda