Australia nafi perubahan iklim punca kebakaran belukar


shadow

MELBOURNE: Kerajaan Australia berpegang teguh pada pendirian bahawa tiada hubungan langsung antara kebakaran belukar di negara itu dan perubahan iklim yang dikatakan saintis menjadi punca utama kejadian terbabit.

Pendirian diutarakan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison serta Menteri Tenaga dan Pengurangan Pelepasannya, Angus Taylor, itu antara lain menegaskan negara berkenaan tidak ada keperluan untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon secara lebih agresif demi menangani kesan pemanasan global, meskipun selepas dilanda kemarau selama tiga tahun dan skala kebakaran belukar yang tidak pernah tercetus sebelum ini.

Sebaliknya, mereka menjelaskan Australia yang ketika ini menyumbang 1.3 peratus daripada keseluruhan kadar pelepasan karbon dunia dan ‘pengilang’ kedua terbesar dalam konteks pelepasan gas terbabit selepas Amerika Syarikat, sepatutnya diberikan habuan kerana berjaya melangkaui sasaran pengurangan kadar pelepasan untuk 2020.

“Apabila bercakap mengenai pengurangan kadar pelepasan global, Australia mesti dan sedang memainkan peranannya, tetapi insiden seperti kebakaran belukar ini memerlukan komuniti untuk bersatu, bukan berpecah,” kata Taylor.

Kerajaan Australia sebelum ini dilaporkan mempertikai usaha mengurangkan kadar pelepasan gas bakal yang dikatakan mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi, khususnya membabitkan sektor eksport gas dan arang batu.

Taylor menerusi kenyataan kepada akhbar The Australia, pada 31 Disember, tahun lalu berkata kebanyakan negara tidak dapat menerima sebarang penggubalan dasar untuk mengurangkan pelepasan gas yang bakal mencetuskan peningkatan terhadap kos sara hidup, selain meranapkan sektor pekerjaan, menurunkan kadar pendapatan dan mengekang arus pertumbuhan.

“Oleh sebab itu, kita tidak melaksanakan sasaran tidak berasas, memusnahkan ekonomi dan membuta tuli diketengahkan pembangkang kerana ia akhirnya sekadar menambahkan kadar cukai,” katanya.

Tinggalkan komen anda