Amerika Syarikat catat paling tinggi kes positif COVID-19


shadow

Bilangan kes positif jangkitan COVID-19 di seluruh dunia buat pertama kalinya melepasi angka setengah juta pada Khamis.

Ia menyaksikan pertambahan 59,089 kes dalam tempoh 24 jam, berbanding 466,955 kes pada Rabu.

Buat pertama kalinya juga, Amerika Syarikat (AS) mengatasi China dan Itali untuk muncul sebagai negara paling ramai kes positif COVID-19.

AS mencatatkan peningkatan mendadak bilangan kes sebanyak 17,119, menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 82,404.

New York, Washington dan California merupakan bandar yang paling terjejas teruk di negara Uncle Sam itu.

Angka kematian di Amerika Syarikat pula melepasi paras 1,000 mangsa dengan keseluruhannya sebanyak 1,178 kes.Menurut statistik Universiti Johns Hopkins, setakat jam 6 pagi waktu Malaysia, China berada di kedudukan kedua dengan 81,782 kes, diikuti Itali 80,589 kes.

China setakat Khamis merekodkan dua hari tanpa kes tempatan dan hanya mempunyai pertambahan kes import.

Sementara itu, Itali masih kekal sebagai negara yang mempunyai kes kematian paling tinggi di dunia dengan 8,215 mangsa.

Ini diikuti dengan Sepanyol dengan jumlah 4,154 kes, manakala China 3,169 kes.

Secara keseluruhan, jangkitan COVID-19 di seluruh dunia mencapai angka 526,044 kes dengan 23,709 kematian.

Bagaimanapun, terdapat 122,066 kes yang telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital.

Pandemik COVID-19 kini telah menular di 175 negara setakat ini.

SUMBER : ASTRO AWANI

Newsletter

Tinggalkan komen anda