Bekas pengumpul dana Trump didakwa cuba melobi AS gugur siasatan 1MDB


shadow

Seorang bekas pengumpul dana bagi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, didakwa atas tuduhan cuba secara salah melobi kerajaan AS menggugurkan siasatan ke atas skandal berkait 1MDB dan menghantar pulang seorang hartawan China yang hidup dalam buangan.

Elliott Broidy didakwa di mahkamah persekutuan di Washington atas tuduhan konspirasi sebagai seorang ejen asing tidak berdaftar selepas didakwa bersetuju untuk terima jutaan dolar untuk melobi pentadbiran Trump.

Pendakwaan itu, yang didedahkan semalam, mendakwa Broidy direkrut pada 2017 oleh seorang warga asing, difahamkan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, untuk mendesak pegawai kerajaan AS menghentikan siasatan ke atas skandal yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Skandal itu melibatkan kecurian lebih AS$4.5 bilion dari 1MDB, dan Low dikatakan main peranan penting dalam menggerakkan dan menyembunyikan dana itu.

Ketika itu, Broidy adalah timbalan pengerusi kewangan kebangsaan dalam jawatan kebangsaan parti Republikan, selepas menjadi pengumpul dana yang penting dalam kempen Trump pada pemilihan presiden 2019.

Selepas direkrut Low, Broidy secara peribadi minta Trump mengundang Najib bermain golf ketika beliau mengunjungi AS pada Sept 2017, kata pendakwaan itu.

Matlamatnya adalah untuk memberikan peluang kepada Najib untuk “cuba selesaikan hal 1MDB” dengan pemimpin AS itu, kata dokumen itu.

Permainan golf itu tidak berlaku, dan Low didakwa pada 2018 atas peranannya menyalurkan berbilion wang daripada 1MDB.

Di samping itu, pada Mei 2017, Low memperkenalkan Broidy kepada seorang menteri China, dan mereka membincangkan hasrat Beijing yang mahu Washington menghantar pulang seorang hartawan China yang hidup dalam buangan, menurut pendakwaan itu.

Ia tidak menamakan mana-mana pihak, tetapi hartawan itu diketahui sebagai Guo Wengui, seorang ahli perniagaan terkenal.

Menurut Wall Street Journal, pegawai kerajaan China itu adalah Sun Lijun, yang pada ketika itu naib menteri keselamatan awam.

Pendakwaan itu menggambarkan usaha Broidy melobi Rumah Putih, Jabatan Kehakiman, dan penguatkuasaan undang-undang bagi pihak China, termasuk bertemu tetapi bukan perbincangan langsung dengan Trump.

Objek konpirasi untuk melobi itu, menurut pendakwaan itu, membuat jutaan dolar dengan memanfaatkan akses Broidy dan pengaruhnya pada presiden dan pentadbirannya.

Pendakwaan itu beberapa minggu selepas rakan Low dan Broidy, seorang ahli perniagaan dari Hawaii, Nickie Mali Lum Davis, mengaku bersalah atas tuduhan secara salah melobi dalam kes 1MDB dan Guo.

Guo masih berada di AS, di mana beliau terus berkempen terhadap pihak berkuasa Beijing, dan bekerjasama dengan seorang rakan Trump, Steve Bannon.

Bannon ditahan pada Ogos ketika berada atas kapal layar milik Guo di Connecticut, dan didakwa atas tuduhan menipu penderma projek tembok sempadan Mexico.-FMT

Tinggalkan komen anda