COVID-19: Putera William rahsiakan dijangkiti


shadow

 Putera William dilaporkan disahkan dijangkiti COVID-19 pada April, tetapi menyembunyikan perkara itu daripada umum kerana ia akan menyebabkan banyak pihak bimbang berhubung keadaan kesihatannya.

The Guardian yang memetik laporan BBC yang menyatakan sumber rasmi istana pada bulan lalu mengesahkan putera berkenaan pernah dijangkiti virus itu.

The Sun pula melaporkan William selepas disahkan positif tetap meneruskan tugasnya seperti biasa menerusi sidang video dan telefon.

Apabila dihubungi pada Ahad, Istana Kensington tidak mahu mengulas mengenai dakwaan itu, tetapi pada masa sama tidak menafikannya.

Menurut The Sun, putera itu dirawat oleh doktor istana dan mengikuti garis panduan kerajaan dengan menjalani kuarantin di kediaman keluarga di Anmer Hall, Norfolk.

Media sebelum ini melaporkan bahawa bapa William, Putera Charles disahkan positif virus itu pada Mac dan mengalami gejala ringan.

Beliau kemudian menjalani kuarantin kendiri 14 hari, daripada isterinya yang disahkan negatif COVID-19.

Pada penampilan pertama selepas sembuh daripada virus itu, Charles mendedahkan beliau kehilangan deria rasa dan bau ketika dijangkiti virus berkenaan. – AGENSI

Tinggalkan komen anda