Kucing jadi penyelamat bayi dalam semak


shadow

Seekor kucing peliharaan menjadi penyelamat apabila menjumpai seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat yang dipercayai dibuang di dalam semak, di Jalan Bayam di Kota Bharu, hari ini.

Pemilik kucing berkenaan, Mohd Norazam Che Wahab, 31, berkata memang menjadi rutin hariannya melepaskan kucingnya itu setiap pagi, di kawasan berdekatan rumahnya.

Dia berkata sebaik dilepaskan kucingnya itu terus meluru melintas jalan dan seolah-olah mencari sesuatu di dalam semak kira-kira pukul 8.10 pagi.

“Saya yang bimbang dengan keselamatan kucing terus bergegas sama melintas jalan dan tiba-tiba terdengar seakan-akan suara bayi kecil.Iklan

“Ketika itu saya berfikir dari mana suara itu kerana tiada jiran berdekatan mempunyai bayi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Norazam berkata selepas itu dia bersama-sama kucingnya terus mengintai-intai di sekitar kawasan semak dan menemui seorang bayi dalam keadaan masih dipenuhi darah dan bertali pusat.

Katanya selepas itu dia terus memberitahu jirannya yang dikenali sebagai Kak Dah untuk menghubungi pihak polis dan membawa kain untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

“Saya percaya bayi ini baru sahaja dilahirkan, kerana darah di badannya belum kering selain masih bertali pusat.

“Nasib baik kucing peliharaan saya berjaya ‘mengesan’ tangisan bayi ini… kalau tak, tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku kepada bayi itu,” katanya.

Norazam berkata ada jirannya yang ternampak sebuah kereta diletakkan di kawasan itu sebelum pukul lapan pagi tadi, tetapi tidak menyangka ia kemungkinan ada kaitan dengan kes buang bayi berkenaan.

Katanya dia bersyukur kerana sudah menyelamatkan nyawa seorang bayi dan sudah dibawa polis ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan polis akan menjalankan sisatan lanjut, termasuk akan cuba mendapatkan mana-mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan tempat kejadian.

Bernama

Tinggalkan komen anda