Pengarah LKTN Kelantan terkandas 12 jam


shadow

PENGARAH Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan selamat selepas terkandas kira-kira 12 jam di kawasan peranginan Lata Kolam Air Deru, Kampung La, Jertih.

Difahamkan Nik Muhammad Azhar Nik Mustapha, 40, bersama empat lagi rakan sekerja tiba di Lata Kolam Air Deru kira-kira jam 10.30 pagi semalam untuk memancing.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa pada mulanya bergerak bersama kumpulan itu sebelum membuat keputusan berhenti di satu lokasi untuk memancing seorang diri.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan seorang rakan mangsa berusia 57 tahun, ketika sampai di Lata Kolam mereka bergerak ke bahagian atas kira-kira 30 minit dari pintu masuk untuk sampai ke peringkat pertama.

“Pada awalnya mereka dikatakan memancing di situ dan mangsa serta tiga lagi rakan yang lain bergerak ke bahagian atas.

“Mangsa dikatakan berhenti di pertengahan jalan untuk memancing seorang diri sementara yang lain bergerak ke tempat lain,” katanya.

Mohd Zamri berkata, rakan mangsa kemudian menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Nik Muhammad Azhar pada 4.17 petang memintanya menunggu di bawah dan mangsa memaklumkan dia berseorangan manakala telefon bimbitnya hampir kehabisan bateri.

“Pada jam 7.45 malam mangsa masih belum turun dan kumpulan itu meminta bantuan kecemasan 8.30 malam untuk mengesan lokasi mangsa selepas dia gagal dihubungi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudian menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa serta-merta dalam operasi bersama pihak bomba dan penduduk kampung.

“Mangsa bagaimanapun berjaya turun sendiri ke lokasi awal beliau sampai jam 7.45 pagi tadi.

“Dimaklumkan beliau menyedari lampu orang mencarinya malam tadi, tetapi bunyi kuat air terjun menyebabkan jeritannya meminta tolong tidak didengari pasukan SAR.

“Mangsa yang mengalami kejang kaki kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan dan kes dianggap selesai,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda