Sumbangan 10% nilai projek bukan dari mulut Rosmah – saksi


shadow

Seorang saksi bersetuju perbincangan mengenai sumbangan politik, dalam bentuk sebahagian daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid di Sarawak, bukan datang daripada mulut Rosmah Mansor sendiri.

Sebaliknya, menurut Rayyan Radzwill Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, hal itu hanya ditimbulkan oleh bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader, Rayyan bersetuju bahawa perkataan “sumbangan politik” dalam kes itu timbul buat pertama kali daripada mulut Rizal sendiri, dan diterima oleh pengarah urusan Jepak Holdings (Jepak) Saidi Abang Samsudin.

Akberdin Abdul Kader

Tambahnya, sebelum pertemuan di rumah Rosmah sekitar Januari atau Februari 2016, Rizal yang mula-mula mencadangkan agar Saidi menawarkan angka 10 ke 15 peratus nilai projek kepada Rosmah dalam perjumpaan di rumah Rosmah beberapa hari kemudian.

Rayyan turut bersetuju bahawa isu “tawar-menawar” jumlah sumbangan – bermula angka 10 peratus dan berhenti apabila sampai ke angka 15 peratus – turut ditimbulkan oleh Rizal, sebelum dia dan Saidi masuk ke kediaman Rosmah pada hari perjumpaan.

Sebaliknya, Rayyan bersetuju dengan Akberdin bahawa ketika Saidi mengemukakan tawaran 10 peratus sumbangan tersebut, Rosmah tidak menyambut baik tawaran berkenaan, tidak menyatakan beliau bersetuju, dan tidak membuat sebaran tawar-menawar seperti dinyatakan Rizal sebelum itu.

Rayyan turut bersetuju dia tidak melihat Rosmah meminta sendiri tawaran berkenaan, dan mengakui Rosmah tak pernah menaikkan jumlah sumbangan kepada 15 peratus.

Akberdin: Tadi kamu dah kata, tawaran dibuat oleh Saidi, beliau (Rosmah) tak menerima, tak jawab saya terima. Lepas tu tak ada soalan tawar-menawar (bargain), kesimpulannya, Rosmah tak minta sebab Saidi yang buat tawaran?

Rayyan: Ya betul.

Akberdin: Apa yang paling mustahak di sini, tawaran tersebut, beliau (Rosmah) tak minta dan tak terima tawaran tersebut. Betul?

Rayyan: Pada perbincangan itu memang tak diterima.

Malah, ketika Akberdi mencadangkan bahawa Rosmah menunjukkan bahasa badan terkejut apabila ditawarkan sumbangan politik sedemikian oleh Saidi, Rayyan mengaku Rosmah “terdiam sebentar”.

“Beliau diam sebentar. Terkejut atau tidak saya tak tahulah”.

Menurut Akberdin, dia menerima arahan daripada Rosmah bahawa anak guamnya itu berasa terkejut apabila ada orang tiba-tiba datang ke rumahnya bercakap tentang projek dan minit daripada perdana menteri- iaitu suaminya Najib Razak- lalu membuat tawaran 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.

“Saya tak boleh ramal apa dia rasa,” jawab Rayyan.

Rayyan merupakan saksi ke-16 perbicaraan rasuah membabitkan Rosmah di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Perbicaraan bersambung esok.

Tinggalkan komen anda