Pasar tanpa premis di Kubang Pasu, Padang Terap dilarang operasi


shadow

Kerajaan Kedah tidak membenarkan pasar tanpa premis termasuk pasar pagi, pasar malam dan nat (pasar sehari) di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap beroperasi, berkuat kuasa semalam hingga 30 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Mohd Hayati Othman, berkata langkah itu bertujuan menyekat penularan Covid-19 yang membabitkan kluster Sivagangga di dua daerah berkenaan.

“Pasar terbuka ini tidak dibenarkan beroperasi sebab peniaga yang berniaga di nat, pasar malam, mereka bergerak dari satu daerah ke daerah lain. Kalau tak buat macam ini mungkin mereka bawa (wabak) pergi ke daerah lain, kita nak jaga daerah lain,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Selain itu, dia berkata waktu operasi premis perniagaan atau perkhidmatan perlu yang dibenarkan di empat mukim yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran hanya dari 8 pagi hingga 6 petang.

“Arahan ini hanya untuk premis yang berada di Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap). Selain daripada mukim ini, pengusaha premis boleh beroperasi seperti biasa,” katanya menambah premis yang termasuk dalam kategori perlu ialah kedai barangan keperluan harian, restoran, kedai makan, stesen minyak serta perkhidmatan penghantaran.

Dia berkata untuk premis perniagaan makanan, pelanggan hanya dibenarkan bungkus atau pandu lalu sahaja.

Premis perniagaan yang melibatkan aktiviti sukan dalaman seperti gimnasium dan badminton (gelanggang berpremis) tidak dibenarkan beroperasi, juga berkuat kuasa semalam hingga 30 Ogos depan.

“Taman awam serta pusat rekreasi sama ada terbuka atau tertutup termasuk semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial di tempat awam di empat mukim itu juga tidak dibenarkan,” katanya.

Dr Mohd Hayati turut menasihati mereka yang dibenarkan beroperasi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menghalang penularan wabak itu.

Bernama

Tinggalkan komen anda