6 atau 12 bulan? Pakatan Plus timbang Dr Mahathir jadi PM semula


shadow

PAKATAN Harapan belum dapat mencapai persetujuan tempoh untuk Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai perdana menteri, sekiranya gabungan itu dapat berkuasa semula, kata beberapa sumber dalaman parti komponennya kepada The Malaysian Insight.

Selepas bersetuju Dr Mahathir, 94, jadi perdana menteri sekali lagi dan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya, gabungan tiga parti PKR, DAP, dan Amanah, serta sekutu Parti Warisan Sabah dan kumpulan ahli Parlimen Bersatu yang tidak menyokong Perikatan Nasional (PN), tidak mencapai kata sepakat mengenai tempoh peralihan kuasa.

Gabungan yang disebut sebagai “PH Plus” ini bertemu sekali lagi pada Sabtu lepas untuk berunding sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum lebih awal, ketika kerajaan PN bertahan dengan majoriti tipis.

Dalam pertemuan pada Sabtu itu, timbul cadangan supaya Dr Mahathir jadi perdana menteri selama setahun dan bukannya enam bulan seperti cadangan asal, kata sumber.

The Malaysian Insight tidak dapat memastikan pihak atau parti mana yang mencadangkan tempoh enam bulan dan 12 bulan itu.

Cadangan untuk Dr Mahathir jadi perdana menteri selama enam bulan difahamkan dibuat dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun.

Pertemuan itu bagaimanapun tidak mencapai kata sepakat untuk menerima Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi.

Namun ketika PKR mula menerima idea itu kerana hanya untuk enam bulan, parti itu terkejut dengan satu lagi cadangan pada mesyuarat kedua pada Sabtu untuk Dr Mahathir jadi perdana menteri bagi tempoh setahun.

Tinggalkan komen anda