Kerja Man City belum selesai


shadow

MANCHESTER: Pep Guardiola memberi amaran kepada Manchester City berkenaan keupayaan Manchester United untuk bangkit selepas anak buahnya menundukkan seteru tetangga itu 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Old Trafford.

Juara bertahan itu menguasai permainan di babak pertama dengan jaringan Bernardo Silva, Riyad Mahrez serta gol sendiri daripada Andreas Pereira untuk meletakkan City di depan.

Kapten United Marcus Rashford merapatkan jurang buat tuan rumah 20 minit sebelum tamat permainan, tetapi berdepan tugas sukar di Etihad pada aksi timbal balik 29 Januari ini.

Guardiola bagaimanapun tetap waspada dengan keupayaan anak buah Ole Gunnar Solskjaer yang bangkit daripada ketinggalan 2-0 di laman sendiri untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu.

PEMAIN Manchester City, Riyad Mahrez (kanan) diasak pemain Manchester United, Brandon Williams pada aksi Piala Liga di Old Trafford. – Foto AFP

“Ia keputusan yang baik, tetapi ia belum berakhir kerana mereka adalah United,” kata Guardiola.

“Musim lalu adalah contoh terbaik ketika menentang PSG. Saya harap di hadapan penyokong sendiri kami mampu menampilkan persembahan terbaik dan mara ke final.”

United sudah membuktikan musim ini yang Etihad bukan laman keramat City apabila mengejutkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu sebulan lalu.

Tetapi City kembali menunjukkan penguasaan ke atas seterunya itu dengan memenangi perlawanan ketiga berturut-turut di Old Trafford dan keempat daripada lima perlawanan di laman tetangganya itu sejak Guardiola membimbing pasukan. – AFP

PEMAIN Manchester City, Riyad Mahrez (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Manchester United pada aksi Piala Liga di Old Trafford. – Foto AFP

Tinggalkan komen anda